بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.
Anak-anakku muda mudi tercinta,
Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemelingannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat dan di hadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan, tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.
Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi reality dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. (maksudnya): “Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.”
Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib ke atas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.
1. Kewajipan terhadap diri sendiri
Sesungguhnya kamu kini berada pada peringkat usia paling subur dan paling kuat. Maka wajib ke atas kamu memelihara kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Yang aku maksudkan dengan kekuatan di sini ialah semua jenis dan semua anasirnya, iaitu kekuatan lahiriah, maknawiah, ruhiah, jasadiah dan sebagainya. Kamu kini berada pada peringkat kuat di antara dua peringkat lemah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban…” Ar-Rum:54
Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang peringkat ini sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seseorang hamba sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana ia dihabiskan? Tentang usia mudanya, untuk apa ia digunakan?…” Lihat, meskipun muda itu sudah termasuk dalam usia keseluruhannya, namun baginda sebut secara khusus tentangnya memandangkan kepentingan usia peringkat ini.
Kita perhatikan di dalam Hadis tersebut, Nabi s.a.w. mengibaratkan usia muda itu laksana pakaian yang kita pakai untuk satu tempoh tertentu, kemudian kita menaggalkannya. Maka wajar bagi kita mengambil peluang menggunakan usia muda dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa muda adalah satu nikmat paling besar sepanjang usia keseluruhannya dan ia adalah salah satu nikmat yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan masa lapang.
Justeru, hendaklah kamu mempertingkatkan diri kamu dari aspek keimanan, keruhanian, ibadah, ilmu, pembelajaran, sukan dan pelbagai bidang agar kamu menjadi insan yang berguna kepada agama, tanah air, umat dan diri kamu. Sejauh mana besarnya dan beratnya tanggungjawab kamu, maka sekadar itulah persiapan yang kamu harus lakukan untuk memikul tanggugjawab itu. Setinggi mana matalamat yang hendak dicapai, setinggi itulah usaha yang mesti dicurahkan untuk merealisasikannya, dan pastinya ganjarannya juga besar dengan izin Allah.
Maka hendaklah kamu mengelokkan hubungan kamu dengan Allah sama ada ketika rahsia dan terbuka. Jangan kamu lakukan perkara yang mendatangkan kemurkaanNya. Hendaklah kamu memohon pertolongan dan bantuanNya. Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
Putera puteriku yang disayangi,
Jangan kamu memandang remeh terhadap diri kamu, usaha kamu dan tenaga kamu. Sikap itu tidak boleh dikira sebagai warak langsung. Sesungguhnya sungai-sungai di dalam dunia ini terbentuk daripada titisan air hujan jika air hujan itu dukumpulkan pada satu aliran dan pada waktu yang sama. Namun awas! Jangan pula kamu sombong dan terpedaya kerana sifat sombong walaupun sebesar zarah membuatkan kita haram masuk syurga. Maka hendaklah kamu yakin pada diri kamu, potensi kamu dan keupayaan kamu. Hendaklah kamu belajar dari mereka yang terdahulu daripada kamu. Sesungguhnya hikmah itu pencarian mukmin. Di mana saja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya.
Realisasikan pada diri kamu 10 sifat individu muslim yang telah digariskan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah. Jadikan ia manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu kamu. 10 sifat itu ialah: jasad yang kuat, akhlak yang mantap, fikiran yang bermaklumat, mampu bekerja, aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, bermujahadah melawan nafsu, sangat menjaga waktu, urusannya tersusun, berguna untuk orang lain.” Sifat-sifat inilah yang menjadi tonggak pembentukan sahsiah mutakamilah yang mampu memikul beban dalam perjalanan membina umat yang maju, cemerlang dan gemilang.
Jadikan diri kamu sebagai qudwah solehah bagi orang sekeliling kamu, sama ada orang yang committed dengan Islam atau tidak, bahkan bagi orang Islam dan bukan Islam. Aku mengingatkan kamu agar berlaku ihsan dalam semua bidang, dalam bidang akdemik, akhlak, kelakuan, berbakti kepada kedua ibu bapa, dakwah kepada Allah, berkhidmat kepada manusia, taat kepada Allah, cintakan tanah air, keluarga dan warganegara seluruhnya.
Jadilah kamu orang yang berenovatif dan kreatif. Keluarkan seluruh keupayaan kamu, gunakan ia untuk berkhidmat kepada tanahair kamu supaya seluruh alam berbangga dengan kamu. Hendaklah kamu jadi orang yang pakar dan mahir dalam pelbagai bidang dan pelbagai jurusan. Semua ini tidak akan terlaksana melainkan dengan ilmu, amal, sabar dan gigih.
Berhati-hatilah kamu dari penyakit hati dan hawa nafsunya. Ketahuilah bahawa orang yang mampu menguasai dirinya, maka dia akan mampu menguasai orang lain. Maka ikhlaskan diri kamu kepada Allah dan taatilah Dia. Perelokkan amal kamu, curahkan tenaga kamu, nescaya Allah redha kepada kamu, umat kamu akan maju dan terlaksanalah matlamat kamu.
Pastikan kamu bersahabat dengan orang yang baik dan orang yang dapat membantu kamu dalam mentaati Allah dan memajukan diri kamu dalam segenap lapangan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat itu ialah orang yang apabila kamu ingat kepada Allah, dia membantu kamu dan apabila kamu lupa, dia mengingatkan kamu.
Putera puteriku yang dikasihi,
Jangan kamu memandang rendah kepada diri kamu dan usia kamu. Berapa ramai sudah pemuda yang telah mengubah wajah sejarah. Di dalam sirah dan sejarah lama dan baru terdapat fakta yang menyokong kata-kataku ini. Maka jadilah kamu pemuda jenis ini, yang sirahnya ditulis dengan huruf-huruf daripada cahaya dan dengan tinta daripada emas.
Maka tanggungjawab kamu sangat besar, lebih-lebih lagi selepas revolusi Arab yang hebat. Dan para pemuda telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam menjayakan revolusi tersebut. Mereka bekerjasama dengan semua golongan rakyat dan menyatukan seluruh kekuatan yang ada. Ketahuilah bahawa revolusi belum lagi berakhir sehingga terlaksana matlamat kita sepenuhnya. Inilah yang menuntut kita mencurahkan tenaga, menambahkan sumbangan lagi dan lagi sehingga revolusi ini masak ranum dan Negara kita terangkat maju ke hadapan.
2. Kewajipan terhadap kedua ibu bapa
Ingatlah Allah dan ingatlah pesanan Allah mengenai ibu bapa kamu. Mereka adalah jalan kamu menuju ke syurga. Maka berbaktilah kepada mereka, taatilah mereka, dekatkan diri dengan mereka, berusahalah untuk menunaikan hajat mereka dan berendah dirilah dengan mereka. Elakkan diri kamu dari perkara yang menimbulkan kemarahan mereka atau melanggar suruhan mereka dalam perkara yang makruf. Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…” Al-Isra’:23
Di dalam mentafsir firman Allah yang bermaksud “maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”, sebahagian ulamak berkata, hendaklah kamu bercakap dengan lembut, mengandungi perasaan belas kasihan, manarik hati mereka, sesuai dengan kehendak dan kecenderungan mereka sedaya mampu kamu, lebih-lebih lagi ketika mereka telah tua.
Aku suka menarik perhatian kamu kepada sabda Nabi s.a.w. yang cukup padat dan penuh hikmah (maksudnya): “Keredhaan Tuhan terletak pada keredhaan ibu bapa, dan kemurkaan Tuhan terletak pada kemurkaan ibu bapa.” Dan sabdanya (bermaksud): “Celakalah dan kecewalah!” Mereka bertanya, “Siapakah yang celaka itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Orang yang sempat bersama ibu bapa atau salah seorang daripada keduanya ketika tua, kemudian dia tidak tidak masuk syurga.” Ketahuilah bahawa datuk nenek kamu adalah akar bagi pokok keluarga, ayah dan ibu kamu adalah batangnya dan kamu adalah daun-daun, bunga-bunga dan buah-buahnya. Kalaulah tidak adanya mereka, tidak adalah kamu.
3. Kewajipan kamu terhadap tanahair
Sesungguhnya tanahair kamu sangat berhajat kepada tenaga kamu yang ikhlas untuk bangkit, lebih-lebih lagi selepas apa yang telah menimpanya selama ini. Ia telah lama diperas, dizalimi dan dirosakkan. Warganya, potensinya, kekayaannya hampir musnah kesemuanya. Maka hendaklah kamu tolong menolong dengan semua pihak, bersatu padu dengan semua golongan, bekerjasama dengan semua pertubuhan untuk membina tanahair kamu. Ruang dan peluang untuk bekerjasama amat luas demi kebaikan tanahair kita. Kita berkerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita menerima keuzuran dalam perkara yang kita tidak sepakati.
Hendaklah kamu gariskan matlamat kamu dengan jelas dan tepat agat tenaga kamu tidak terbuang sia-sia, kamu tidak keliru antara hadaf dengan wasilah, tidak memperbesarkan perkara kecil dan memperkecilkan perkara yang besar. Pelajarilah fiqh aulawiyyat dan beransur-ansurlah menyusun langkah. Dengan jelasnya matlamat dalam fikiran kamu, akan teranglah jalan kamu, tenaga dan kesukaran jakan kamu dapat diminimumkan, dan matlamat akan tercapai dengan lebih cepat. Utamakan aspek beramal daripada berteori supaya manusia dapat melihat daripada kamu amal yang hebat, bukan semata-mata cakap. Keadaan seorang lelaki dalam seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki.
Hendaklah kamu beramal bersungguh-sungguh untuk mencari alternative yang lebih baik yang dapat membantu kamu memanfaatkan waktu kamu. Berhati-hati dengan masa lapang. Sesungguhnya masa lapang itu musuh kamu yang paling ketat. Masa lapanglah yang mendorong pemuda terjerumus ke lembah kesesatan dan keruntuhan akhlak. Kamu juga perlu mengikhlaskan niat, menggunakan semua kebolehan serta bakat dan manfaatkan setiap detik waktu. Itulah rahsia kejayaan dengan izin Allah. Hendaklah kamu menggabungkan diri dengan pusat-pusat aktiviti pemuda, kesatuan sukan, badan kerajaan, majlis tempatan, pertubuhan sukarela, pertubuhan social, badan kebajikan dan sebagainya. Bangunkan, kembangkan, susun program keilmuan dan kemahiran yang berguna. Ikut serta dalam pelbagai kegiatan amal sehingga mereka sedar akan nilai kamu dan risalah kamu dalam kehidupan serta sumbangan kamu yang berguna kepada tanahair kamu.
Hendaklah kamu mengambil berat tentang masyarakat kamu dan permasalahannya dan memainkan peranan yang positif dalam membantunya. Aktifkan minda kamu mencari penyelesaian masalah masyarakat. Hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan mereka, “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia. Digemarkan mereka kepada kebaikan dan digemarkan kebaikan kepada mereka. Mereka akan mendapat keamanan pada hari manusia dalam ketakutan (Hari Qiamat).”
4. Kewajipan terhadap umat
Hendaklah kamu mengambil berat tentang umat kamu dan isu-isunya. Serapkan dalam diri kamu dan berusaha menolongnya. Jangan kamu menyisihkan diri dari permasalahannya kerana siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka. Kamu menjauhkan diri dari permasalahan umat kamu merupakan permulaan kepada perpecahan dan pertelingkahan. Dan itu akan membawa kepada kerugian serta menunjukkan kamu tidak berintima’ kepada umat kamu, umat Arab dan umat Islam.
Putera puteriku yang dikasihi,
Sesungguhnya Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah telah menggariskan di dalam risalahnya “Ilasy-Syabab” rukun-rukun kejayaan. Dia berkata: “Sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila keimanan kepadanya kuat, keikhlasan yang sempurna dalam merealisasikannya, semangat (hamasah) yang membuak-buak dalam memikulnya, serta wujud kesediaan untuk berkorban dan beramal demi menegakkannya.” Dari kata-kata ini kita dapati rukun kejayaan itu empat perkara: iman, ikhlas, hamasah dan amal. Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruh dan aqidah (iman dan ikhlas) di samping aspek amal dan pelaksaan (hamasah dan amal). Ini merupakan gabungan yang sungguh cantik, semangat (hamasah) pemuda, pengarahan yang baik, kemantapan fahaman, mendahulukan aspek aqidah daripada yang lain.
Di tempat lain beliau berkata: “Dan setiap orang yang beramal dengan benar dari kalangan kamu akan mendapati di medan Islam apa yang selari dengan kehendaknya dan memenuhi aktivismanya jika dia terdiri daripada orang yang benar.” Tabiat pemuda adalah hamasah. Jika tidak dikekang mungkin akan terlajak. Lantaran itu Imam al-Banna menasihatkan: “Kekanglah runtunan emosi dengan pandangan akal. Sinarilah pandangan akal dengan nyalaan emosi.” Maka di sini Imam al-Banna mengekang dan mengawal semangat serta menghalakannya ke jalan yang betul dan lurus, jalan iman, ikhlas dan benar.
Maka berpegang teguhlah dengan empat rukun ini. Realisasikan di dalam diri kamu dan serulah orang lain daripada kamu. Beramallah dengannya dan tukarkan ia menjadi reality yang bergerak bersama kamu di setiap medan kehidupan kamu.
Putera puteriku yang dikasihi,
Imam al-Banna juga telah menyebut di dalam risalahnya yang ditujukan kepada kamu thawabit (perkara yang tetap) jamaah yang terpenting, iaitu: rabbaniah, tadarruj, tabiah, syumuliah. Maka jadikan thawabit ini sentiasa berada di hadapan mata kamu. Berpeganglah dengannya dan beramallah mengikut tuntannya. Dengan itu akan menjamin keselamatan jalan, kebenaran hadaf dan terlaksana natijah yang paling baik dengan izin Allah.
Rabbaniah bermaksud: menuju hadaf yang diletakkan Allah untuk kita, bukan hadaf yang kita letakkan untuk diri kita. Dan kita akan sampai dengan izin Allah dan pertolonganNya. Dan Allah enggan kecuali Dia akan sempurnakan cahayaNya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
Tadarruj dan tarbiah bermaksud: “Kita akan didik diri kita semoga kita menjadi individu muslim, kita akan didik rumah kita supaya menjadi rumah muslim, kita akan didik bangsa kita sehingga menjadi bangsa muslim di kalangan bangsa-bangsa yang muslim, dan kita akan tetap teruskan langkah kita sehingga sempurna semua pusingan.”
Syumul bermaksud: “Ikhwan beriman bahawa Islam itu aqidah dan ibadah, tanahair dan bangsa, akhlak dan kebendaan, ilmu dan undang-undang, toleransi dan kekuatan. Mereka yakin dan berpegang teguh bahawa Islam adalah system yang lengkap dan merealisasikannya pada diri dalam semua aspek kehidupan, menyusun urusan dunia sebagaimana menyusun urusan akhirat. Mereka beriktiqad Islam adalah system amali dan ruhi secara seiring. Maka Isalam di sisi Ikhwan adalah din dan daulah, mushaf dan saif (pedang). “sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Al-Kahf:13
Dan akhirnya,
Kamu adalah harapan dengan izin Allah. Kami mengetahui bahawa pada kamu ada kebaikan yang besar. Maka rasailah sentiasa wahai pemuda reality yang dialami umat kamu, reality yang cukup masam, pahit, menyedihkan dan tidak ada seorangpun dari kalangan kita yang redha dengannya. Rasailah bahawa di tangan kamu dan dengan usaha kamu akan merobah keadaan umat kamu dan memenangkannya jika terlaksana pada diri kamu dan reality kamu syarat-syarat kemenangan, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Muhammad:7
Maka hendaklah kamu mengelokkan iman kamu dengan Allah dan ikuti sunnah Rasulullah s.a.w., amal berterusan, tajarrud sepenuhnya, curah tenaga tanpa henti, berkorban apa saja, jujur dengan Allah, dengan diri dan dengan manusia, gunakan tenaga untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana diri kita ini jika tidak digunakan untuk perkara yang benar, dia akan sibukkan kita dengan perkara yang batil. Apabila terlaksana semua ini, akan terlaksanalah kemanangan sebagaimana yang telah dicapai sebelum ini, dan ia tidak sukar bagi Allah. “dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;” Al-Hajj:40
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluargannya dan sahabat-sahabatnya.
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.
Muktamar Tullab Ikhwan Muslimin pertama selepas revolusi,
Cairo, Sabtu 26 Syawal 1432H bersamaan 24 September 2011M
والله اعلم
والسلام عليكم