Wednesday, February 4, 2009

Jangan boikot Israel??

بسم الله الرحمن ارحيم

Pernah sekali saya terbaca satu tulisan seorang 'ulama'  (bukan tulisan tapi transkrip kaset je padahal).

Katanya, kita boleh membeli barangan Israel selagi mana barangan itu halal. Alasannya, jangan kita haramkan apa yang Allah telah halalkan dan sebaliknya. Hujahnya adalah Nabi s.a.w.  juga pernah berjual beli dengan Yahudi Madinah. Sedangkan asbabun nuzul turunnya ayat Surah Al Maidah ini bukannya berkaitan dengan boikot pun.



Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. [5:87]

Saya tak tahulah bagaimana 'ulama' ini mengkaji sirah. Yahudi yang Nabi berjual beli itu adalah Yahudi Madinah yang ada perjanjian sekutu dengan orang Islam. Yahudi ini hidup di Madinah dan berhak kepada perlindungan daripada pemerintahan Islam. Sedangkan Yahudi Zionis yang disebut sebagai 'wajib boikot' ini adalah Yahudi yang menakluki tanah-tanah Islam, yang membunuh warga Islam. Dan berdagang dengan mereka hanya akan menguatkan kekuasaan mereka ke atas Baitul Maqdis dan menjerut leher warga Palestin.

Bukankah situasinya terlalu berbeza?

Jikalah dikatakan boikot itu mengharamkan apa yang halal, maka adakah ahlul Yathrib (Madinah) sendiri pernah mengharamkan apa yang halal apabila mereka memboikot Telaga Rumah yang dimiliki Yahudi dan kedai-kedai Yahudi di Pasar Madinah kerana penjual Yahudi menipu dalam jual beli?

Kalaulah memboikot sang penipu dibolehkan, apakah memboikot si pembunuh diharamkan?



Kita tidak boikot Yahudi kerana agama mereka Yahudi. Kita tidak boikot Zionis kerana nama dia Zionis. Tapi kita boikot dia kerana dia serang dan dera saudara kita.

Begitu juga ada yang cuba merendahkan boikot. Mengatakan bahawa boikot ini tidak ada kesannya. Kalau ada pun sedikit. Lebih kurang begitulah.

Saya rasa cukup ganjil dan aneh. Apakah Allah Taala itu lebih memandang hasil daripada usaha? Jika benar, maka apakah darjat syahid syuhada yang gugur di medan Badar dan Uhud juga berbeza sebab hasil peperangannya (Badar menang dan Uhud kalah) berbeza?

Allah Taala memandang usaha kita. Dipandangnya kesungguhan dan taqwa kita. Soal hasil itu adalah ketentuan Dia. Dia boleh mengekalkan Israel di bumi ini sampai tempoh yang Dia mahu walaupun satu dunia tembak nuklear atas tanah Palestin yang terjajah itu, walaupun satu dunia memboikot dan menghalang perdagangan dengan tanah Palestin yang terjajah itu. Seperti mana dia mengekalkan kerajaan Islam Mamluk Mesir di bawah pimpinan Al Malik Muzaffar Saifuddin Qutuz (Ashairah) walaupun satu dunia (Empayar Monggol dan Kristian) menentang mereka.

Begitu juga Dia boleh menghancurkan Israel itu dengan sekecil-kecil sebab. Walaupun dengan hanya satu dua orang boikot tak makan McD. Sepertimana Dia boleh menghancurkan kerajaan besar Namrud yang dimulai dengan sekecil-kecil sebab; seekor nyamuk memasuki rongga hidung sang raja.



Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas tipu daya. [3:54]


Had kita (rakyat jelata) untuk membantu Palestin dengan kadar ini ada 5. Doa, boikot, sebaran maklumat, demonstrasi dan derma. Boikot adalah 'serangan' kita kepada Zionis. Derma adalah 'pertahanan' kita kepada rakyat Palestin. Demo sebagai tanda suara kebencian kita untuk didengar. Sebaran maklumat untuk jalinan dakwah itu tidak akan putus.

Ada juga golongan yang menolak demonstrasi. Alasannya tiada dalil hadis dan Al Quran maka ia menjadi haram.

Sebelum jawab saya nak tanya, apa dalil kita jual naskhah Quran? Apa dalil kita jual naskhah sahih hadis? Apa dalil kita jual khat ayat Quran kemudian buat kain gantung dekat Kaabah? Apa dalil kita makan dulu lepas sendawa baru bayar sedangkan kita diajar utk bayar dulu baru pakai barang/makan kita beli? Apa dalil kita bayar zakat fitrah pakai duit (thaman bi al-nuqud al-Mithli) sedangkan jelas disebut segantang makanan ruji bukan duit? Apa dalil kita azan 2 kali sembahyang jumaat sedangkan Nabi buat sekali saja?

Kenapa bila sampai tahap sebegini baru tiba-tiba kita nak cakap, "oh itu sebab masoleh mursalah, sebab uruf, sebab istihsan, sebab istishab, sebab pendapat sahabat, sebab ijtihad etc etc"?

Kenapa?

Kalaulah boikot tak boleh, demonstrasi tak boleh. Apa jalan yang lebih berkesan menentang Zionis dengan tahap kita?

Bila ditanya begini, diam pula. Mengkritik tahu, memberi penyelesaian tidak sama sekali.

Maka benarlah kata bijak pandai:

Setiap pengkritik itu kurang bijak melainkan dia memberikan penyelesaian atas apa yang dikritiknya.

p/s: Tidak berniat memerli sesiapa, cuma sekadar menegur yang mungkin menyinggung perasaan sesetengah pihak. Harap maaf. Credits to Hilmi anyway. Pesanan penaja: Boikotlah dengan berhikmah dan bijaksana.

والله علم
والسلام عليكم

No comments: