Wednesday, December 1, 2010

Bingkisan cinta syahdu

  بسم الله الرحمن الرحيم

Mode muhasabah akhir tahun (tahun hijrah baru semakin hampir)




1. (Rabb) Yang Maha Pemurah,
2. Yang telah mengajarkan Al-Qur'an.
3. Dia menciptakan manusia,
4. Mengajarnya pandai berbicara.


Bilamana Allah memulakan surah yang dinamakan khas dengan namaNya iaitu Ar Rahman.... Bukti cinta pertama Allah pada kita adalah Al Quran itu sendiri. Bukti kedua pula adalah kejadian penciptaan kita itu sendiri. Kemudian nikmat-nikmat yang lain menyusul sepertimana yang diceritakan dengan penuh kesyahduan dalam surah ini.


Pernahkah kita benar-benar mentadabbur dan menghayati ayat-ayat indah ini dan berfikir sedalam-dalamnya selama ini? Bait-bait cinta dan kasih Allah yang tidak bersyarat, tidak bertepi, tiada bersempadan, dan tiada penghujungnya...


Cuba kita bayangkan, seorang yang bukan sahaja memberi kita pelbagai nikmat yang memang tidak ternilai dan tidak terganti, apatah lagi yang menciptakan kita sendiri... dan bilamana kita mendustakan seseorang itu walaupun nikmat tetap diberi tanpa henti? Dusta?? YA DUSTA!!


13. Maka ni'mat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?

kazhab  merupakan perkataan yang digunakan Allah dalam surah ini, dan diulang-ulang berkali-kali dalam surah ini sehingga ke penghujung surah. Mengapa dan mengapa? Apakah makna kazhab/ dusta yang diulang-ulang dengan nada kecewa ini akan sikap kita yang menDUSTAkan nikmat Allah?


Allah s.w.t. memberi kita nikmat pendengaran, penglihatan dan juga penghayatan/pemahaman melalui hati.


Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), amatlah sedikit kamu bersyukur.(32:9)

Mengapa Allah menyebut pendengaran dahulu, kemudian diikuti oleh penglihatan dan akhir sekali hati? Bila kita fikir dan tadabbur secara mendalam, baik kita renung kembali asal kejadian kita yang hina ini. Apabila bayi baru sahaja dilahirkan dan baru keluar dari perut ibu, nikmat apa yang mula-mula sekali kita dapat? Pendengaran!! Kemudian setelah beberapa ketika, barulah bayi itu dapat membuka matanya (penglihatan!!). Dan sudah tentu setelah mencapai tahapan umur tertentu, barulah si anak itu mampu menghayati, memahami dengan hati. Betapa tepatnya susunan perkataan dalam ayat al Quran ini sendiri, tidak mencanggahi fakta sains sedia ada. Subhana robbina inna kunna zhoolimiin.


Tapi apa yang kita lakukan dengan nikmat-nikmat yang dikurniakan tersebut? Mata kita digunakan untuk melihat perkara-perkara yang lagho, bahkan haram. Telinga kita digunakan untuk mendengar perkara-perkara lagho, bahkan haram. Hati kita digunakan untuk memikirkan perkara-perkara lagho, bahkan haram. Bukankah itu menDUSTAkan nikmat Allah? Astaghfirullah.

Tak perlu saya ulas panjang tentang apa yang lagho dan apa yang haram, kerana semuanya telahpun jelas dalam Islam. Kita tahu tapi berpura-pura tidak tahu ataupun buat tak tahu aje. Mengapa??? Kerana perbuatan dosa kita telah menyelaputi hati kita sehingga kita tidak ada rasa bersalah ketika menDUSTAkan nikmat-nikmat Allah. MenDUSTAkan Al Quran iaitu bukti cinta Allah kepada kita. MenDUSTAkan ar Rasul iaitu bukti cinta Allah kepada kita. Sampai hati kita mengkhianati cinta dan kasih sayang Allah kepada kita....


Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.(83:14)

Masih belum terlambat lagi insyaAllah untuk kita bertaubat (terutamanya diri saya sendiri). Kasih sayang Allah itu tidak pernah bertepi. Itu suatu realiti yang sukar kita sedari atau rasai dengan hati kita sebenarnya. Betapa kita sentiasa dalam keadaan menDUSTAkan nikmat-nikmat Allah, tapi Allah masih tidak putus-putus mengurniakan nikmat-nikmatNya kepada kita, masih memberi peluang kepada kita untuk kembali padaNya, dengan sebenar-benar taubat yakni taubat nasuha.

Marilah kita sentiasa berwaspada menjaga hati kita, jangan sehingga perbuatan dosa kita menyelaputi hati kita sehingga kita tidak rasa bersalah lagi bilamana kita menDUSTAkan nikmat-nikmat Allah. Ampunilah segala kikhilafan, kelalaian, dan dosa-dosa ku yang lalu ya Allah. Sungguh cintaMu itu tidak pernah ada batasannya. Kau yang lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk bagi diriku ini ya Allah. Tidak sanggup lagi untuk aku menDUSTAkan walau sekecil-kecil nikmat yang kau beri ya Allah. Tetapkanlah hati ini ya Allah dan terimalah taubatku. Pimpinlah dan pandulah hatiku ini sentiasa ya Allah.
  
 
والله اعلم
والسلام عليكم

1 comment:

Anonymous said...

mohon kongsi blog ini di FB ye