Monday, January 19, 2009

Sedih dan cemburu yang membakar

بسم الله الرحمن الرحيم

Pagi yang telah menjadi rutinku setiap hari bekerja, sedang saya memandu ke tempat kerja di Subang sambil mendengar laporan berita di radio tentang perkembangan terbaru serangan Yahudi laknatullah ke atas Tebing Gaza.

"Seorang mayat kanak-kanak yang mati tertimbus sejak lebih dua minggu lalu di Gaza telah dijumpai. Mayatnya masih segar dan masih belum reput seolah-olah baru sahaja terbunuh beberapa jam yang lalu."

Tatkala mendengar berita tersebut, beberapa potong ayat suci Kalamullah terus bermain-main dan terngiang-ngiang di fikiran dan hati saya. Ketika itu juga saya terus tidak dapat menahan sebak yang teramat sangat dan terus mengalirkan air mata di sepanjang perjalanan sehingga saya sampai ke tempat kerja.

Surah Ali Imran: 169-174



Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; [3:169]


(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [3:170]


Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. [3:171]


Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar. [3:172]


Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".[3:173]


Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. [3:174]


Video ini walaubagaimanapun merupakan petikan dari Surah Ali Imran dari ayat 166 hingga ayat 185.





Alangkah beruntungnya kanak-kanak muda Palestin itu. Sudah menjadi syuhada' pada usia yang begitu muda. Hati saya menjadi sangat sayu setiap kali ayat-ayat dari Surah Ali Imran itu tadi bermain-main di fikiran saya. Seruan yang sangat kuat terhadap diri saya sendiri yang seolah-olah mencabar kemampuan diri. Cemburu yang tidak terhingga juga dengan keadaan kanak-kanak tersebut yang telah menjadi syuhada'.

Apakah yang telah saya sumbangkan terhadap Islam setakat ini? Apakah pencapaian saya dalam hidup setakat ini? SPM? IB? Bachelor Degree in Mechanical Engineering? Semua itu terlalu kerdil jika dibandingkan dengan pencapaian kanak-kanak tersebut yang telahpun menjadi syuhada', di mana rohnya diangkat ke langit di sisi Allah dan pintu syurga terbuka luas menantinya.

Ya Allah, tetapkanlah hatiku di atas jalan yang lurus yang telah ku pilih ini dengan izinMu ya Allah. Berikanlah aku kekuatan, kesihatan, kebijaksanaan dan keazaman dalam meneruskan usahaku yang masih jauh dalam melakar coreng-coreng kehidupanku. Bantulah aku dalam menelusuri jalan yang menuju kepadaMu ini dengan saudara-saudara seperjuanganku yang sentiasa membantuku bangun setiap kali aku terjatuh atau tergelincir. Aku juga ingin turut berjuang keranaMu, tamatkanlah nyawaku juga sebagai seorang syuhada'. Amin ya Rabbal 'Alamin.



والله علم
والسلام عليكم

No comments: