Thursday, June 18, 2009

Muhasabah cintaku

بسم الله الرحمن الرحيم


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu


Tuhan... Baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu



Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini

Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Edcoustic-Muhasabah Cinta


Ya Allah, ya Rabb, pemilik nyawaku, pemilik seluruh alam
aku hanya mampu mengadu kepadaMu
segala kesusahan yang aku lalui selama ini
segala pahit-maung jerih perjuangan
mungkin kerana khilaf dan kesalahanku selama ini

Ingin sahaja aku minta agar nyawaku ditamatkan segera
sementara aku masih belum berputus asa
dan masih belum tergelincir
walaupun berkali-kali ku berada di tebing gaung
yang dalam tiada berpenghujung

Teringatku tatkala Musa gentar menghadap Firaun
lalu berdoa Musa minta dipermudahkan segala urusan
dan dikurniakan Tuhan seorang saudara seperjuangan
mungkin kurang doaku, harapanku padaMu
mungkin itu sebab musibah dan mehnah menjengahku

Kau yang mengetahui segala isi hati
ku rasa bagai telah sampai ke penghujung jalan
tabahkan diriku dalam menghadapi dugaan ini
agar tidak ku berhenti di pertengahan
sentiasa ku cuba yakini diri bahawa ada hikmah di sebaliknya


Kau sahaja yang memahami diriku ini ya Ilahi
muhasabah cintaku buat kali ini
doa dan harapku hanya padaMu
ku hanya mampu berusaha sedaya kudrat yang ada
kurniakanku 'Harun' ya Allah dalam meneruskan perjalanan ini

Maafkanlah diri ini pabila tak sempurna menyintaiMu



والله علم
والسلام عليكم

Tuesday, June 9, 2009

Ikhtilat oh ikhtilat

بسم الله الرحمن الرحيم

Kini exam week bermula. Selamat bermujahadah kepada semua sahabat di Auckland terutamanya dan di tempat-tempat lain yang sewaktu dengannya. Saya tergerak untuk berkongsi pendapat juga di kala kesibukan exam week ni kerana hati saya gusar melihat fenomena exam week di sini terutamanya yang semakin kronik menjadi barah di kalangan pelajar Muslim Melayu (Muslim bukan Melayu pun ada jek). 

Matlamat TIDAK menghalalkan cara. Fenomena yang semakin menjadi-jadi terutama semasa exam week di kalangan pelajar di sini terutamanya adalah percampuran tidak terkawal antara lelaki dan perempuan. "Kami just study sama-sama." Tapi biasanya dalam 'study' tu banyak je terselit perkara-perkara lain yang suka saya namakan sebagai خطوت الشيطن, jejak langkah syaitan.

Sebenarnya, percampuran lelaki dengan perempuan adalah amat dipandang berat oleh ISLAM. Tidak hairanlah jika kita tidak menjaga pergaulan kita dengan kaum berlawanan jenis, maka kita akan dipandang serong dan mungkin akan dikutuk cela.


ALLAH SWT berfirman: “ Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya(zina) itu adalah satu perbuatan yang keji, dan jalan yang buruk” [Al-Israa’ 17:32]

Ayat ini popular bukan? Selalu kita dengar orang melaung-laung ulang ayat ini bila hendak menceritakan hal kenapa dilarangnya bercampur lelaki dengan perempuan. Tetapi ramai yang membalas semula: “ Kami bukan nak berzina. Kami kawan je. Mana ada sentuh-sentuh.”

Tak mengapa. Kamu cerdik. Pandai kamu memberikan alasan. Saya tinggalkan dulu persoalan “ Kami bukan nak berzina” ini. Mari kita perhatikan terlebih dahulu, bagaimanakah ALLAH menitik beratkan pergaulan lelaki dan perempuan ini.

Kalau kita perhatikan, ayat larangan mendekati zina terletak di tengah-tengah Surah Al-Israa. Bukan di hadapan, bukan di belakang. Itu ayat melarang. Satu teguran, pesanan daripada ALLAH SWT untuk menyatakan buruknya zina itu. Ayat sebegitu diletak di tengah-tengah.

Mari kita selak Surah An-Nur. Lihat, apa yang ALLAH SWT firmankan di awal surah itu:


“ Inilah satu surah yang KAMI turunkan dan KAMI wajibkan(menjalankan hukum-hukumnya), dan KAMI turunkan di dalamnya(surah ini) tanda-tanda(kebesaran ALLAH) yang jelas agar kamu tergolong dari kalangan orang yang beringat” [ An-Nur 24:1]

Lihat ayat seterusnya:

“ Penzina perempuan dan penzina lelaki, sebatlah kedua mereka dengan seratus sebatan, dan janganlah rasa belas kasihan kammu terhadap mereka bedua mencegah kamu untuk(menjalankan) agama(hukum) ALLAH, jika kamu beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Dan hendaklah(perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman” [An-Nur 24:2]

Pada ayat kedua, terus ALLAH SWT menyatakan hukuman zina. Tanpa ada mukaddimah yang panjang, tanpa menyatakan cara-cara menjauhi zina, ALLAH terus menarik perhatian manusia dengan menyatakan hukuman terlebih dahulu. Hal ini menunjukkan, betapa penting dan besarnya permasalahan zina ini.

“ Ya la, kami bukan nak berzina” Mungkin ada di antara kita membantah. Ya ya, saya faham. Tapi sekarang, kamu nampak tak berzina ni benda yang amat-amat tercela dan terlarang? ALLAH SWT menitik beratkan permasalahan zina ini, berbanding permasalahan menyebar berita palsu, masalah masuk rumah tanpa izin dan pelbagai lagi masalah yang disebut di dalam Surah An-Nur. Dalam banyak masalah itu, zina adalah yang ALLAH letakkan paling hadapan. Malah, bukannya menyatakan itu dan ini berkenaan zina. Tetapi terus kepada hukuman. Dari segi uslub bahasa, ini menunjukkan bahawa permasalahan zina adalah besar.

“ Ya la, tapi kau tak faham ke, kami bukan nak berzina” Ok. Tapi berzina ni benda yang besar, itu kita setuju dan bersepakat bukan? “ ya la. Tapi masalahnya, besar mana pun zina tu, kami berkawan je, bukan nak buat zina tu. So, apa masalahnya?”

Hu hu… Pandainya.

Dalam semua perkara yang terjadi dalam dunia ini, ada yang tiba-tiba terus berlaku kah? Pokok, tiba-tiba terus jadi pokok yang tinggi, banyak cabang. Rumah, tiba-tiba terus terpacak bangunan dua tingkat, bersama swimming pool dan sebagainya. Begitu?

Semua perkara, ada permulaannya. Begitu juga dengan zina. Agak-agak, kalau terus-terus ajak perempuan atau lelaki berzina, dia mahu kah? Mahu kena lempang kamu. Berzina ada gerak langkahnya. Boleh bermula dengan seringan-ringan chatting, boleh bermula dengan semudah perbualan, malah yang paling senang boleh bermula dengan penglihatan.

Di dalam Surah An-Nur, ALLAH SWT berfirman:

“ Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya, ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan” [An-Nur 24:30]


Kemudian ALLAH SWT berfirman: “ Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka…” [An-Nur 24:31]

Kalau diperhatikan dari segi susunan dan penggunaan ayat, ada sesuatu yang besar di dalam larangan mendekati zina tadi. Kita perhatikan, di dalam Surah Al-Israa’ ayat 32, ALLAH SWT menyebut: “ Dan janganlah kamu dekati…” Perkataan ‘dekati’(dalam bahasa arab: Taqrobu) itu digunakan. Kalau di dalam Surah An-Nur ayat 30 itu, di penghujungnya ALLAH menyatakan: “ Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan” Kalau dilihat dalam bahasa arab, ‘apa yang mereka kerjakan itu’ ALLAH telah gunakan perkataan ma yasna’uun bukannya ma yaf’aluun(Kalau diterjemahkan ke bahasa melayu, maknanya akan kelihatan sama. Yakni maksudnya: Apa yang mereka kerjakan)

Tetapi, tidak ramai yang tahu perbezaan yasna’uun dan yaf’aluun. Tahukah kamu apakah perbezaannya? Yaf’aluun ini membawa maksud benda yang kita buat tanpa berdikit-dikit. Contohnya, menampar. Terus sahaja tamparan kita melayang, tidak lama pun. Mungkin dalam masa beberapa saat. Contoh lain berbohong, terus sahaja kita berbohong, tak perlu jangka masa lama pun.

Tetapi yasna’uun ini berbeza maksudnya. Yasna’uun membawa maksud perbuatan yang berdikit-dikit, terancang, perlahan-lahan hingga mencapai hasilnya. Sebab itu, kalau anda perasaan, perkataan ‘kilang’ dalam bahasa arab adalah ‘sina’ah’. Kenapa perkataan ‘kilang’ diterjemahkan sebagai ‘sina’ah’ dalam bahasa arab? Hal ini kerana, kilang memprodus sesuatu perkara itu berdikit-dikit, terancang. Macam kilang buat kereta, bukannya kereta itu terus menjadi kereta. Ada checkpoint-checkpointnya di dalam kilang. Bahagian pasang tingkap, bahagian pasang wayar, bahagian pasang tayar dan sebagainya. Perlahan-lahan sebuah kereta melalui proses, yang akhirnya di penghujung, menjadi sebuah kereta yang boleh dipandu. Begitulah maksud yasna’uun. Perbuatan berdikit-dikit, terancang, satu demi satu, hingga mencapai matlamat.

Kenapa ALLAH gunakan Yasna’uun dalam kes menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan? Maksudnya, ALLAH itu Maha Tahu, dari berkenaan pergerakan kita hendak menghampiri zina itu, dan semua itu dilarang. Itulah kaitannya dengan “ Jangan kamu mendekati…”. Perlahan-lahan kita menghampiri zina, dan itu adalah perkara yang dilarang.

Kemudian kita lihat susunan ayat 30 dan 31. Apakah yang kita perasan? ALLAH telah menyebut lelaki terlebih dahulu sebelum perempuan bukan? Ayat 30, ALLAH berpesan kepada lelaki terlebih dahulu, barulah kepada perempuan bukan? Apakah maksud yang tersirat di sebalik penyusunan ayat ini?

ALLAH hendak menyatakan secara halus, bahawa lelaki itu lebih lemah dalam berurusan dengan hawa nafsu. Lelakilah yang mudah terjerumus, tergugat, bila melihat perempuan berpakaian terdedah, bila digoda dan sebagainya. Sebab itulah ALLAH SWT menyebut lelaki terlebih dahulu.

Di dalam ayat 2 Surah An-Nur pula, kalau kita perasan, ALLAH menyebut: “ Penzina perempuan dan penzina lelaki…” Di situ, kita dapat melihat ALLAH menyebut perempuan terlebih dahulu sebelum lelaki dalam hukuman zina. Kenapa? Sedangkan dalam ayat hukuman kepada pencuri, ALLAH berfirman: “ Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri…” (Al-Maidah: 38) ALLAH telah mengutamakan lelaki dari perempuan. Kenapa dalam hukuman zina, perempuan di dahulukan?

Mudah sahaja. Hal ini kerana, perempuan biasanya menjadi faktor kepada zina itu sendiri. Kalau dalam hal kecurian, lelaki mempunyai lebih kudrat untuk menjadi pencuri berbanding perempuan. Nampak? Susunan ayat di dalam Al-Quran juga ada rahsianya.

“ Ala, kami sembang je, studi sama-sama, bukan nak sentuh-sentuh, bukan nak cium-cium”

Kamu bagi alasan lain. Kenapa nak buat juga walaupun sudah nampak ALLAH larang perkara ini? Tetapi tak mengapalah. Saya layan. Saya bagi pandangan saya.

Saya bagi soalan. Kita ini dengan Nabi Adam, siapakah yang lebih hebat lagi?

Nabi Adam itu Nabi, pernah hidup dalam syurga, dicipta langsung oleh ALLAH SWT, dan malaikat-malaikat pernah sujud kepadanya. Tapi, tahukah kamu apa yang terjadi kepada baginda? Bukankah baginda tertipu oleh syaitan? Bukankah baginda diturunkan ke bumi kerana tertipu dengan syaitan?

Jangan ingat, dalam kehidupan kita, hanya ada manusia, tumbuhan, dan haiwan sahaja. Dalam kehidupan kita, ada syaitan yang telah bersumpah untuk menyesatkan kita dengan bersungguh-sungguh. Syaitan yang telah berjaya menipu Nabi Adam, syaitan yang telah berjaya menyesatkan jutaan abid.

Anda lebih hebat daripada Nabi Adam kah?

Kalau kita perasan, sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga menuntut ilmu dengan isteri Rasulullah SAW selepas kewafatan Rasulullah SAW. Bagaimana kah cara mereka menuntut ilmu dengan isteri Rasulullah SAW?

Isteri Rasulullah SAW akan berada di belakang tabir, kemudian menyampaikan ilmu.

Nampak? Wahai perempuan, anda dengan isteri Rasulullah SAW, siapakah yang lebih tinggi imannya? Wahai lelaki, siapakah anda jika hendak dibandingkan dengan sahabat Rasulullah SAW? Alangkan mereka yang telah dijanjikan syurga ini pun masih lagi bertabir, menjaga pandangan, menjaga pergaulan mereka, bagaimanakah anda?

Kenapa mereka begitu menjaga sekali pergaulan? Hal ini kerana, meraka faham bahawa syaitan itu akan berusaha bermati-matian untuk menyesatkan. Syaitan akan mencari lubang-lubang untuk membuat serangan. Maka, cara yang terbaik adalah menutup langsung lubang-lubang itu. Cara melarang melakukan perkara kecil yang ditakuti mendatangkan mudarat yang besar ini adalah dinamakan Sadduz Zara’i’. Sadduz Zara’i’ adalah salah satu cara yang digunakan ulama’ dalam menjatuhkan hukum.

Mari kita perhatikan firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nur juga pada ayat 21.

“ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kau mengikuti jejak langkah syaitan. Maka sesungguhnya dia(syaitan) mengajak kamu mengerjakan perbuatan keji dan mungkar…” [An-Nur 24:21]

Lihat, apakah perkataan yang ALLAH gunakan dalam pesanan ini. “ Janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan…” Lihat, jejak langkah. Maksudnya, syaitan ini akan membawa kita sedikit demi sedikit, sedikit demi sedikit, hinggalah akhirnya, kita tidak perasan yang kita telah terperangkap dalam keingkaran kita kepada ALLAH SWT.

Syaitan tak akan kata kepada kita: “ Berzinalah kau dengan dia” Gerenti kita tempelak balik syaitan dengan berkata: “ Gila ke? Zina tu dosa besar!”

Syaitan tidak sebodoh itu. Syaitan adalah makhluk yang berjaya membuatkan beberapa kaum membunuh nabi-nabi mereka. Syaitan adalah makhluk yang pernah berjaya menundukkan jutaan abid. Syaitan juga adalah makhluk yang berjaya memperdayakan Nabi Adam. Masakan dia akan bertindak bodoh untuk memperdayakan kita. Syaitan ada jutaan teknik untuk memperdayakan kita. Dia akan memimpin kita, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, bermula dengan sekecil-kecil perkara, perlahan-lahan mendaki satu demi satu tangga maksiat, dan akhirnya memerangkap kita dalam kemungkaran. Yang pertama syaitan lumpuhkan adalah hati kita. Biar hati tidak nampak lagi itu baik atau buruk. Kemudian dia akan matikan akal. Biar kita tidak dapat fikirkan lagi dosa pahala. Akhirnya, dia akan menolak kita melakukan pengingkaran kepada ALLAH. Bukan dalam hal zina sahaja, tetapi dalam semua medan dosa.

Di akhirat nanti, kita akan berkata kepada ALLAH SWT: “ Ya ALLAH, Syaitan inilah yang menyesatkan aku. Aku tidak mahu ingkar pada ENGKAU sebenarnya, tetapi syaitan ini telah menutup akalku, mematikan hatiku. Ya ALLAH, siksalah dia dan jangan kau siksa aku”

Masa itu, tahukah anda apa yang syaitan akan katakan kepada kita?

ALLAH SWT berfirman: Dan syaitan berkata ketika perkara(hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya ALLAH telah menjanjikan kepadamu janji yanng benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya(menipu). Tidak ada kekuaasaan bagiku terhadapmu(aku tidak memaksamu) melainkan aku (sekadar) menyerumu. Lalu kamu yang mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kammu mencerca(menyalahkan) aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu dan kamu pun tidak akan dapat emnolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu menyekutukan aku(dengan ALLAH) semenjak dulu” Sesungguhnya, orang-orang yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih” [ Ibrahim 14:22]

Lihat, syaitan yang menghasut pun akan meninggalkan kita.

Manusia pula, sifatnya lemah. Sebentar di atas, sebentar di bawah. Iman manusia itu juga sifatnya naik dan turun. Maka, bagaimana kita hendak menyelamatkan diri kita daripada hasutan tipu daya syaitan, jika kita sendiri melemahkan diri kita, sengaja berbuat kemungkaran? Bagaimana hendak menjaga keimanan, ketaatan kepada ALLAH jika kita sendiri yang membuka pintu untuk syaitan menghasut kita?

Nampak? Adakah sekarang anda sudah nampak kenapa ikhtilat itu tidak dibenarkan? Nampak kah kamu kenapa ALLAH melarang lelaki dan perempuan bercampur tanpa batasan?

Masihkah anda hendak berkata: “ Ala, kami bukannya apa, kawan je” ?

Syaitan akan mencucuk anda, menghasut anda, dari arah dan cara yang tidak anda sangka-sangka. Alangkan sahabat Rasulullah SAW, isteri Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga juga berjaga-jaga, bagaimanakah pula anda yang tidak tahu ke mana lagi anda akan pergi di hari qiamat nanti?

“ Ish, susah la…” Alasan anda yang terakhir bukan?

ALLAH akan bayar kesusahan anda yang sedikit ini, dengan syurga yang kekal abadi, penuh dengan kenikmatan, malah perkara-perkara yang anda tidak pernah impikan pun ada di dalamnya. Apa lah sangat kesusahan yang ada di dunia ini?

Dan, perhatian kepada mereka yang mencela, mengutuk, memboikot, menghina sesiapa yang telah terjebak dengan ikhtilat ini, saya nasihatkan, hentikanlah.

“ Aku dah tegur dia 10 kali, dia tak mahu dengar jugak. Jadi aku boikot la”

“ Aku nampak dia pegang tangan dengan makwe dia, aku cela lah. Mana boleh biar orang macam tu senang. Nanti dia terus lagi buat dosa. Nanti dia ingat dia betul”

Ya kah? Begitukah caranya menegur?

Jika benar, maka pada hari lelaki arab kencing di dalam masjid, maka Rasulullah SAW akan membiarkan sahabat-sahabat baginda memukul lelaki itu. Jika benar, maka pada hari Saidina Umar meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk memenggal kepala ketua munafik, Abdullah ibn Ubay ibn Salul, maka Rasulullah SAW akan membenarkan. Jika benar, maka Rasulullah SAW tidak akan mengajak penyembah berhala – syirik, menyekutukan ALLAH, kufur kepada ALLAH, dosa yang teramat besar – untuk kembali kepada ALLAH SWT.

Siapa ajar kamu untuk boikot orang berbuat dosa dan maksiat?

Adakah kamu hendak beratnggungjawab jika orang berdosa itu terus melarikan diri daripada cahaya ALLAH akibat pemboikotan, celaan, hinaan kamu kepadanya? Bagaimanakah kamu akan menjawab di hadapan ALLAH bila orang larut dalam dosa kerana membenci tindakan kamu itu berkata: “ YA ALLAH, aku jauh dari hidayah KAU sebab si fulan ni ajak orang boikot aku, hina aku, cela aku. Aku benci kepadanya, sebab itu aku jauh dari hidayah KAU”

Apakah yang kamu hendak menjawab bila ALLAH tanya: “ Kenapa kamu berputus asa dengan hambaKu ini? Sedangkan AKU tidak pernah berputus asa untuk mengampunkan hamba-hambaKu?”

Apakah yang kamu belajar daripada Nabi Nuh yang terusan berdakwah selama 950 tahun? Bagaimanakah kamu belajar daripada Rasulullah SAW yang terus mendoakan kebaikan walau dibaling batu sehingga terperah darahnya ketika di Ta'if?

Kamu panggil kamu golongan kebenaran? Mengajak kepada kebaikan? Maka kenapa kamu mencela-cela, menghina-hina, memulaukan mereka yang memerlukan lagi teguran kamu, nasihat kamu, bimbingan kamu?

Da’ie jenis apakah kamu?

Menegur ada caranya. Hikmah. Bukanlah hikmah ini berlembut semata-mata. Tetapi hikmah ini kena dengan caranya, ada stepnya, ada gayanya, kena dengan keadaan, sesuai dengan sasaran. Bukan semua manusia boleh ditegur kasar, bukan semua manusia boleh ditegur lembut. Da’ie perlu mempunyai kemahiran menilai.

Jika tidak, apa guna ilmu waqi’? Untuk tahu politik sahaja kah?

Jika tidak, apa guna ta’aruf? Sekadar hendak kenal biar boleh menghukum kah?

Kalaulah Rasulullah SAW berputus asa ketika baginda dibaling batu dengan teruk di Ta’if, maka iman dan ISLAM itu tidak sampai kepada kita hari ini. Maka siapakah kamu yang hendak berputus asa dengan sikap seorang hamba biasa?

“ Dia budak baik, takkan tak faham-faham lagi?”

Habis, Nabi Adam juga tertipu dengan syaitan. Apakah kamu hendak menyatakan Nabi Adam itu tidak faham? Ka’ab bin Malik, sahabat Rasulullah SAW juga pernah tidak pergi beperang kerana terleka dengan dunia. Maka apakah kamu hendak menyatakan kamu lebih faham ISLAM daripada Ka’ab bin Malik?

Tegurlah dengan sebaik-baik teguran. Jangan kerana kamu, manusia jauh daripada rahmat ALLAH. Da’ie tugasnya menyeru. Hakim baru tugasnya menghukum.

Sama-sama kita muhasabah. Muhasabah berkenaan ikhtilat. Dan muhasabah bagaimana hendak mengajak manusia menjauhi ikhtilat.

Selamat menduduki peperiksaan dengan baik. Bittaufiq wannajah fil imtihan.


والله علم
والسلام عليكم