Tuesday, December 1, 2009

Menginsafi kejadian bencana alam

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya menemani ahli keluarga saya untuk menziarahi saudara kami di Kg. Nakhoda, Gombak  yang ditimpa banjir kilat baru-baru ini. Saya duduk mendengar sahaja kisah ceritanya yang diceritakan dengan begitu bersemangatnya sekali.

"Tengah-tengah duduk berehat, tak pasal-pasal air masuk ke dalam rumah. Aku tak sedar mula-mula tapi bila duk terdengar bunyi air mengalir dari ruang tamu, baru sedar yang air dah masuk ke dalam rumah. Air naik sampai ke paras betis menghampiri lutut (sambil menunjukkan paras betisnya). Tak sangka la hai, tak pernah-pernah banjir selama ni, tetiba boleh naik air. Abis berlumpur satu rumah dibawa masuk air bah tu. Jenuh si XX dan YY mengerjakan rumah siang dan malam membuang lumpur dan membersihkan rumah ni. Banyak barang rosak...."

Sedang dia rancak bercerita kepada kami dengan nada yang sangat sayu dan sedih atas musibah yang menimpa, beberapa potong ayat Al-Quran secara tiba-tiba terlintas dan seolah-olah berkata-kata padaku.



[3]
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan". 




[4]
Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari. 



[5]
Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim". 



[6]
Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu. 



[7]
Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka). 



[Al-A'araf, 7:3-7]



Diriku tergamam dan termenung merenungi ayat-ayat suci ini. Benarlah firman Allah yang Maha Agung. Sememangnya banyak bencana yang menimpa manusia adalah ketika keadaan manusia langsung tidak bersedia ataupun "least expected"seperti dalam ayat keempat surah Al A'araf tersebut - bayatan auhum qooilun (sedang berehat pada malam hari ataupun pada tengah hari).

Apabila manusia ditimpa bencana, barulah kita mengakui yang diri kita ini sendiri sebenarnya yang zalim. Sedarlah bahawa diri kita ini semuanya bertanggungjawab atas segala kejadian di muka bumi ini. Kita akan disoal nanti dengan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita dan kita akan disoal adakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita di muka bumi ini, sebagai khalifah dan hamba Allah.

Adakah kita merasa kita akan aman dan tenang dari ancaman bencana alam hanya kerana Malaysia terletak di luar lingkaran api Pasifik? Banyak kejadian yang berlaku selama ini adalah "message" yang dihantar oleh Allah melalui kejadian bencana alam. Mengapa semua ini berlaku? Ramai yang sudah penat bertanya soalan inikan. Mengapa? Mengapa?

Jawapannya ada dalam ayat ketiga surah Al A'araf tersebut. Ittabi'u ma unzila ilaikum mirrobbikum (Ikutlah apa yang telah diturunkan oleh Tuhanmu) tapi sayangnya, qolilamma tazhakkarun (sedikit sekali  antara kita yang mengambil peringatan). Itulah sebabnya bencana-bencana ini terjadi. Sampai bila kita mau sedar dan mengambil pengajaran, dan bukan sekadar sedar semata-mata tetapi turut bertindak dan berubah.




Ayuh saya menyeru diri saya sendiri terutamanya dan semua pembaca, marilah kita bertindak dan berubah sebelum terlambat. Sedarlah bahawa kita ini adalah hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini sebelum menjadi apa-apa pun. Segala apa yang kita kejar di dunia tidak akan bermakna jika tanggungjawab kita yang paling utama tidak dilaksanakan dan kita semua akan dimusnahkan bersama-sama dengan bencana ini sebagai BAHAN LEBIHAN DUNIA YANG TIDAK BERGUNA.

Mengapa tak berguna? Mengapa lebihan? Kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab kita. Anda ada kerusi yang tidak lagi berfungsi sebagai kerusi sebenar. Bukankah itu bahan lebihan tidak berguna yang patut dimusnahkan atau dibuang sahaja? Begitulah juga hakikat kita yang tidak menjadi hamba dan khalifah Allah yang tidak ittiba' (mengikuti) Allah dan Rasul.




Ittabi'u ma unzila ilaikum mirrobbikum wala tattabi'u mindunihi auliyaa', qolilamma tazhakkarun....


والله علم
والسلام عليكم

1 comment:

ummu said...

Salam
Bila ditimpa musibah, ia menjadi pengajaran untuk kita.
Semasa banjir besar melanda sebahagian Pahang dan Johor,saya sekeluarga berada di kawasan itu.