بسم الله الرحمن الرحيم
Sudah lama saya tidak menjenguk blog ini, hampir sahaja seakan dilupakan. Sedar tak sedar, sekelip mata Ramadhan kali ini berlalu, terasa lebih pantas berbanding tahun lalu. Banyak dugaan yang hebat telah kuharungi, dan kutahu banyak lagi dugaan yang jauh lebih hebat bakal menanti. Harap masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya menempuh madrasah tarbiyah Ramadhan dengan jayanya. Kullu 'Aam wa nahnu ilallahi aqrob... insyaAllah.
Ingat nak beramal ni senang ke? Ingat nak masuk syurga pun senang ke? Begitulah tempelak diriku memujuk diri untuk terus melangkah. Sabar. Senyum selalu dan jangan lupa baca bismillah. Kehadiran ustaz hensem ke Batu Pahat baru-baru ini benar-benar menjadi satu titik tolak baru kepadaku dalam meneruskan langkahku ini dengan lebih kencang lagi. Jom berlari jom, asyik berjalan je...
Penghujung cuti raya selama 2 minggu baru-baru ini, saya habiskan masa sehari suntuk menziarahi mutarobbi ku yang kini di CUCMS. Banyak perkongsian, luahan, keluhan yang diutarakannya, dan ku ambil peluang yang ada untuk terus berkongsi dengannya, pengalaman-pengalaman yang lepas dan segala ilmu yang ada dalam memberi semangat dan panduan kepadanya untuk terus melangkah. Memang bukan senang nak masuk syurga yang paling best...
Kita memang seharusnya mencontohi air, walau apa jua rintangan dan halangan yang muncul, air itu akan tetap mengalir dan mencari ruang jalan untuk ia terus mengalir.
Selepas itu, terus pula berjaulah bersama-sama ikhwah-ikhwah di Batu Pahat ke Cameron Highland selama 2 hari. Pertama kali berjaulah di Malaysia, sebelum ni kat NZ je, banyak benda menarik dan perkara baru yang saya pelajari. Antara perkongsian menarik adalah ketika kami mandi air terjun di sebuah Hutan Lipur di Tapah. Air terjun di sana memang sangat deras.
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah, 2:74)
Ingat wahai ikhwahku, air terjun itu mengalir deras kerana wujudnya potential difference yang sangat tinggi di sana. Kita semua yang mandi pun hampir hanyut dibawa arus ketika mandi di sana kan? Potential difference ini tak mungkin dapat diwujudkan dalam diri kita, melainkan melalui tarbiyah yang intensif dan muntijah (efektif). Baru kita rasa satu urgensi yang tinggi lalu menghasilkan satu arus yang kuat, arus gerak kerja KITA yang bertali arus dan tidak putus-putus. Arus yang mampu menghancurkan batu-batu 'jahiliyah' baik dalam diri kita mahupun di sekeliling kita.
Sebagaiman air terjun di sana mengubah bentuk geografi di sana walaupun secara teorinya macam sangat susah dan memakan masa (berpuluh-puluh dan mungkin beratus-ratus tahun kadang-kadang pengaliran air sedemikian berlaku untuk membentuk keadaan geografi seperti di sana sekarang). Begitulah juga tarbiyah KITA insyaAllah. Pentarbiyahan yang berterusan dan berkesinambungan walau apa jua halangan yang timbul.
Yang paling penting hadaf yang ingin dicapai melalui jaulah KITA kali ini tidak lain tidak bukan adalah ukhuwwah. Arruhu jundun mujannadah.
Ruh-ruh umpama bala tentera yang hebat. Jika saling mengenali, saling menguatkan. Jika tidak mengenali, mereka berikhtilaf. (Hadith Riwayat Muslim)
Lalu aspek ukhuwwah dalam membina roh-roh baru ahli sulbah adalah bukan sahaja penting, malah sangat kritikal. Supaya KITA saling menguatkan antara satu sama lain, bukannya berikhtilaf. Ingatlah pengajaran penting jaulah KITA kali ini, dalam menjadi dai'e yang juga hamba kepada Ar-Rahman.
Saya akan kongsikan lain kali insyaAllah, kisah rehlah KITA pula dalam entri seterusnya.
والله علم
والسلام عليكم
No comments:
Post a Comment