Thursday, December 25, 2008

Al Kisah Seribu Dinar 2

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lama aku ingin membeli sebuah motosikal. Memang sudah agak lama aku mula menabung demi membeli sebuah motosikal buat diriku sendiri dengan baki gaji bulananku yang tidaklah sebanyak mana. Walaubagaimanapun, aku masih mempunyai daya fikiran yang waras dan tujuan utama aku ingin membeli motosikal juga adalah untuk memudahkanku berulang-alik ke tempat kerja, bukannya sekadar untuk berlagak atau kepuasan nafsu semata-mata.

Selang beberapa minggu selepas itu, ada seorang kenalan memberitahuku yang ada seorang lelaki yang ingin menjual motosikalnya kerana dia ingin membeli sebuah kereta. Setelah aku pergi berjumpa dengan lelaki tersebut dan memeriksa keadaan motosikal itu, aku berpuas hati dengan motosikal tersebut dan terus membelinya dengan harga 1/10 daripada harga asalnya jika motosikal itu adalah motosikal baru. Pada ketika itu, Ramadhan baru sahaja bermula. 

Aku benar-benar bersyukur kerana dapat membeli motosikal ini dengan harga yang sangat murah. Walaupun ianya adalah 'second-hand', tapi tuan sebelumnya telah menjaganya dengan baik dan prestasi motosikal ini masih seolah-olah baru. Sekarang aku tiada masalah lagi untuk berulang-alik ke tempat kerja, tidak perlu menunggu bas yang kadang-kadang lewat menyebabkan aku selalu terlewat sampai ke tempat kerja. Kini juga lebih mudah untuk aku berulang-alik ke masjid setiap hari kerana masjid yang terdekat dengan rumahku adalah agak jauh dan mengambil masa lebih 20 minit untuk berjalan kaki ke sana.

Pada 17 Ramadhan, aku dijemput untuk berbuka puasa di rumah rakan sekerjaku. Bukan mudah untuk aku datang ke rumahnya sekarang kerana dia kini telah 7 bulan mendirikan rumah tangga. Nak datang pun kena ada jemputan. Lagipun aku tidak beberapa rapat sangat dengan orang-orang lain di tempat kerjaku kerana aku pun masih belum sampai setahun lagi baru mula bekerja di situ. Selama ini, aku lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakanku di sekitar rumahku dan juga rakan-rakan semenjak di bangku sekolah lagi.

Namun pada waktu itu, berlaku satu kejadian yang tidak diingini. Sewaktu aku ingin melintas jalan simpang tiga, aku tidak betul-betul memerhatikan keadaan trafik dari sebelah kananku. Aku telah dirempuh oleh sebuah kereta yang meluncur agak laju dari sebelah kanan. Aku terpelanting ke kawasan padang ragut di seberang jalan. Alhamdulillah aku hanya mengalami sedikit luka-luka, calar-calar dan sedikit lebam di tangan dan kaki kerana impak pelanggaran itu. Namun motosikal ku rosak teruk dan lebih teruk lagi, kereta tersebut juga rosak teruk di bahagian hadapannya.

Aku terus meminta maaf kepada tuan kereta itu dan aku memberitahunya yang aku akan cuba untuk membayar ganti rugi kerosakan itu kerana kecuaianku sendiri semasa hendak melintas simpang tiga tadi. Namun tuan kereta itu, berbangsa India, berkeras terhadapku supaya aku membayar ganti-rugi dengan serta-merta atau dia akan membawaku ke mahkamah.Aku merayu kepadanya dan akhirnya dia memberi tempoh dua minggu untuk membayar kos ganti rugi kerosakan keretanya itu. 

Aku pasrah dan redha dengan ketentuan yang Allah berikan kepadaku ini. Sememangnya aku sangat risau, gajiku untuk dua bulan baru dapat menampung kos ganti rugi keretanya itu. Sedangkan aku hanya diberi masa dua minggu. Jika aku dapat meminta gajiku 'in advance' pun, aku terpaksa makan rumput hari-hari selama dua bulan kerana tiada duit. Pelbagai cara ku fikirkan tapi tak satu pun yang kurasa dapat membantuku. Aku seolah-olah terjatuh ke dalam satu lubang yang sangat gelap dan keseorangan terkapai-kapai cuba untuk keluar.

Akhirnya, perkara yang termampu untukku lakukan hanyalah dengan tawajuh dan bertawakal kepada Allah s.w.t. 10 malam terakhir Ramadhan kali ini memang lebih istimewa. Aku sentiasa berjaga malam dengan lebih lama daripada kebiasaannya untuk melakukan solat malam dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah bagi mengeluarkanku daripada kesempitan yang menimpa diriku ini. Akhirnya menjelang minggu terakhir sebelum Hari Raya, seorang rakan sekerjaku yang baru sahaja beberapa bulan memulakan kerja di tempatku bekerja menegurku.

"Ali, aku tengok sejak kebelakangan ni, monyok je. Tak bermaya langsung. Takkan gaduh dengan awek ke?" selorohnya bergurau denganku. "Takde la Azhar, takde ape-ape. Aku ok je," aku cuba menyembunyikan masalahku. "Jangan camtu Ali, aku tahu kau ada masalah ni. Walaupun kita baru beberapa bulan berkenalan, tapi aku dah agak masak dengan perangai kau. Bagitahu je la, mana la tahu entah-entah aku boleh bantu," pujuknya lagi.

Akhirnya aku mengalah dan menceritakan kepadanya masalah yang kuhadapi sekarang. "Ok Li, insyaAllah aku akan cuba membantu sedaya-upayaku. Kau tak perlu risau sangat." Aku hanya mendiamkan diri kerana aku sendiri kurang yakin dengan keberkesanan bantuannya itu. Namun kesedihan hati aku ini sedikit terubat kerana ada juga yang menegurku. Dalam situasi itu, aku sedar rupa-rupanya banyak kawan-kawanku selama ini hanya kawan semasa senang sahaja. Semasa aku susah, aku ditinggalkan begitu sahaja. Sedangkan Azhar itu bukan sekadar baru beberapa bulan berkenalan denganku, dia juga bukanlah sebangsa denganku. Hanya ikatan aqidah yang mengikat hati kami berdua bersahabat baik selama ini.

Dalam masa 5 hari selepas itu, Azhar mengajakku untuk keluar makan malam bersama. Aku mula-mulanya keberatan tapi mengalah juga setelah didesak kuat olehnya. Pada ketika itu juga, tiba-tiba dia menyerahkan kepada aku sepucuk sampul surat. "Hah, bukalah sampul surat tu. Aku rasa cukup tu," sapa Azhar kepadaku. Aku dalam keadaan terpinga-pinga membuka sampul surat itu dan mendapati sejumlah wang yang banyak, sememangnya cukup untuk membayar ganti rugi kereta dalam kemalangan hari itu jika ditambah dengan overdraf bank yang boleh aku ambil selain duit simpananku. "Eh Azhar, dari mana kau dapat duit sebanyak ni?" tanyaku yang masih dalam keadaan tergamam dan kebingungan. "Ala, aku buat kutipan kilat di beberapa surau-surau dan rakan-rakan kenalanku. Aku cuma katakan seorang saudara Islam kita memerlukan bantuan kewangan secepat mungkin. Itulah yang termampu Ali dalam masa yang singkat ini. Takpe, kau ambil duit tu dan pergi bayar kat orang tu esok. Takyah fikir panjang lagi. Anggap duit tu kau je yang punya," jawabnya yakin.

Aku tanpa teragak-agak lagi terus memeluknya, mengucapkan terima kasih kepadanya, dan air mataku begitu deras mengalir kerana rasa syukur yang tidak terhingga akan bantuan yang tidak disangka-sangka ini.




65:2. Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

65:3. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

والله علم
والسلام عليكم

No comments: