Friday, August 21, 2009

Make A Difference 2

بسم الله الرحمن الرحيم

InsyaAllah dalam entry yang lalu, kita dapat lihat bagaimana kita mungkin bukannya penyumbang secara langsung dalam menyelamatkan seseorang itu daripada membunuh diri, tapi kita mungkin berada dalam rantaian yang sangat panjang dan secara tidak langsung menyumbang kepada arus perubahan tersebut.

Oleh itu jangan sekali-kali kita bangga diri atas pencapaian kita. Ingatlah sifat takabur itulah yang membawa kepada laknat Allah terhadap syaitan sehingga ke hari Kiamat. Ya! Sifat takabur! Sifat-sifat seumpamanya seperti riak, bangga diri dan egoistik begitu mudah menghinggapi hati sehingga menjadi barah yang sukar untuk diubati.

Ramadhan merupakan peluang terbaik untuk kita muhasabah kembali hati kita.

Ada orang bermasalah dengan amalnya. Bukan masalah tidak tahu beramal. Tetapi, dia bermasalah kerana dia riya’, takabbur, ujub dengan amalnya.

Rajin ke masjid lima waktu sehari, maka di dalam hatinya terdetik: “Bagus aku ni, dapat pergi masjid 5 waktu sehari. Istiqomah plak tu. Tak macam orang lain”

Hafal Al-Quran 30 juzu’, hatinya mencuit: “Apa la orang lain, aku boleh hafal 30 juzu’, kenapa la diorang ni malas sangat? Mungkin otak diorang ni lembab agaknya”

Kepimpinan hebat, bercakap di hadapan fasih, semua orang terpegun, hatinya berkata: “Ha, baru korang tahu aku ni siapa. Sekali aku cakap, semua ternganga”

Rajin qiamullail: “Eh, hebat aku ni. Mesti pahala banyak”

Begitulah dalam perbuatan-perbuatan kita yang lain.

Ya, hanya detikan di hati. Tiadalah pula kita mendabik dada mendongak kepala, menjerit-jerit kata: “Aku bagus, aku terhebat, aku terbaik!”. Semuanya di dalam hati.


Ketika itu, hati telah tercedera sebenarnya. Sedar atau tidak, amal kita tidak diterima. Kerna, tiada kerendahan dalam hati kita. Syaitan, hakikatnya telah berjaya memperdayakan kita semua.

Syaitan, jika tidak berjaya mengajak kita berbuat kemungkaran dan maksiat, maka dia akan menyuruh kita berbuat kebaikan.

Oleh itu rendahkanlah hatimu Imran. Rendahkanlah hatimu dengan serendah-rendahnya.

Ada orang yang memilih penyelesaian mudah. Kalau buat baik pun takabur, maka takyah buat apa-apa lah, lagi bagus. Maka sekali lagi syaitan telah berjaya. Kerana jika seseorang itu tidak membuat apa-apa, maka akan datang juga kecenderungan masa lapang itu untuk diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan lama kelamaan menjurus kepada perkara maksiat juga. Ye la, bila tak teruskan beramal, tak tingkatkan amal, maka diri jadi lemah. Oleh itu mudahlah syaitan untuk menjerumuskan kita dalam kancah kemaksiatan.

Habis tu camne? Nak buat baik, nanti takabur. Tak pun nanti cakap tak serupa bikin. Tak buat apa-apa pun tak boleh juga kerana dah memang tanggungjawab setiap umat Islam untuk menyeru. Nahnu du'aatun qobla kulli syai'in. Sama ada kita menjadi daie untuk Islam atau daie untuk agen-agen lain dan toghut.

Maka rawatilah hati ini. Apabila amal kita disertai dengan riya' atau takabur, maka riya' dan takabur itu yang kita kena tinggalkan, bukannya amal itu. Rendahkan hati dan ikhlaskan hatimu Imran.

Kita beramal selama ni nak meramaikan orang yang hadir sekadar untuk gah sahaja ke? Sehingga tiada titik tolak ansur untuk menghadapi perbezaan yang wujud.

Ketika Fathul Makkah. Rasulullah SAW masuk ke Makkah, bersama 10,000 orang tentera baginda, lengkap bersenjata semuanya, majoriti tentera muslimin ketika menunggang kuda dan unta, semuanya berbaju besi dari kepala hingga ke kaki dan hanya menampakkan mata sahaja. Lengkap, hebat, gagah, dan tidak tertentang.

Namun, Rasulullah SAW tidak masuk dengan mendabik dada, ataupun tersenyum memandang kiri kanan. Diriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW masuk ke Makkah ketika saat gemilang itu, dengan menundukkan kepalanya, menangis dan memuji-muji Allah. Dinyatakan bahawa, Rasulullah menundukkan kepala, hingga kepalanya itu hammpir menyentuh tubuh untanya.

Kenapa?

Kerana ketika itu, Rasulullah SAW hendak menutup segala kemungkinan untuk riyak, takjub, ghurur, takabbur dan pelbagai lagi tembakan-tembakan halus syaitan. Segala strategi Syaitan, dihadapi baginda dengan tenang, dipatahkan penuh bijak dengan kerendahan hati.

Ingat, rendah hati tidak sama dengan rendah diri. Kadang-kadang rendah diri juga terselit unsur-unsur riya' tetapi rendah hati adalah berpaksikan keikhlasan yang hakiki.

Ingin saya petik juga mutiara nasihat dari Ustaz Dahlan (mudir MATRI di Perlis).

"Kita ini, membawa manusia pulang kepada Allah. Bukan kepada organisasi. Organisasi adalah wasilah(jalan). Jangan kita jadilah wasilah kita sebagai ghayah(matlamat). Dalam membawa agama Allah ini, tidak boleh kita selitkan walau sedikit pun rasa kepentingan diri. Semuanya kita lakukan kerana-Nya, untuk mendapat redha-Nya”

Rawatilah hati kita dan bukannya tinggalkan amal tersebut. Kenal pasti punca masalah dan bermujahadahlah serta bersabarlah dalam merawat masalah ummah sambil membaiki diri sendiri. Jangan jadi seperti sohibil hut (sahabat ikan) seperti dalam ayat di bawah kerana kurangnya sabar dalam berdakwah dan lari dari masalah.



[Maka bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan. (Al Qalam 68:48)]

Ayuh kita sama-sama cuba merawat hati ini sementara ketiadaan syaitan selama sebulan nanti insyaAllah. Ramadhan Mubarak! Manfaatkan bulan tarbiyyah ini sebaik-baiknya.

~My blog will be on long hiatus period as it may seem at the moment~
~Sedang merawat hati sambil merawat penyakit ummah insyaAllah~



والله علم
والسلام عليكم

1 comment:

Anonymous said...

Maka itu hendaklah kita ikhlas dalam berbuat apa jua hingga tidak memandang kepada diri kita yang berbuat demkian.