بسم الله الرحمن الرحيم
"Akhi, ana layak ke bergelar seorang akh?"
Perkongsian seorang 'kakak' kepadaku yang begitu mengesani kalbuku... Wakunu 'ibadallahi ikhwana
Tugas semua Rasul Allah di seluruh zaman adalah mengalihkan manusia dari penyembahan makhluk kepada penyembahan Khaliq (pencipta), dan seruan mereka yang pertama kepada kaum mereka adalah; "Sembahlah Allah dan jauhilah berhala". (An-Nahl : 36). "Sembahlah Allah, tiada Tuhan bagimu selain Dia". (Perkataan ini disebutkan oleh Al-Quran melalui lisan Nabi Nuh, Shaleh dan Syuaib dalam surah Al-A'raf, ayat: 59, 65, 73 dan 85).
Indahnya, seandainya semua orang menyedari hakikat sebenar dakwah kita. Kejujuran dakwah kita yang hanya menyeru kepada Allah, bukan selain dariNya. Bukan kepada persatuan kita. Bukan kepada pemimpin kita. Bukan kepada kita. Bukan kepada nama-nama atau negara-negara kita. Bukan kepada aset-aset dakwah dan tarbiyyah dan modul yang kita ada. Bukan kepada sistem teknikal jemaah yang kita anuti. Bukan kepada jemaah terbesar dan terawal di negara kita. Bukan juga menyeru dengan penuh kebanggaan kepada Jemaah terbesar di dunia. Tetapi hanya kepada Allah.
Krisis yang menimpa ummah kini, bukan sekadar niat mereka tidak jitu dan tepat kepada Allah, namun mereka saling tidak menghargai mukmin-mukmin lain. Dalam tidak sedar mereka, menentang dengan keras, malah mengkafirkan para duat lain yang ikhlas di jalan Allah. Lagi-lagi dalam kelompok duat Melayu yang sinonim dengan perasaan tidak senang melihat orang lain berjaya. Lantas, kerja yang berat ini bertambah bebannya, kerana orang-orang islam (baca : kononnya berjuang) yang dengki.
Tidak kurang pula, di setiap celah dakwah yang disampaikan ini, kita akan berjumpa dengan orang-orang yang samada sedang keliru, ataupun tidak ikhlas kerana Allah. Mereka mencari-cari erti diri mereka, menisbatkan keimanan mereka kepada Siapakah jemaah yang dituruti bersama ini. Dalam setiap perjumpaan mereka, mereka berbangga-bangga dengan kelompok mereka. Mereka membina ketaksuban dalam diri, hinggakan di suatu ketika dalam hidup, kebanggaan itu akhirnya dibeli dengan tarbiyyah terjual. Tarbiyyah yang sangat fundamental dalam mengenal erti ketuhanan, malangnya diabaikan demi keberadaan bersama jemaah yang ditaksubi secara total itu.
Apabila berada di ceruk dunia, tanpa sebarang ahli jemaah mereka untuk mentarbiyyah mereka, mereka lebih sanggup tidak ditarbiyyah daripada bersama dengan ummat islam lain yang mampu memenuhi keperluan mereka.
Mereka lupa, jemaah islam itulah jemaah mereka. Ya, usrah mereka atau katibah mereka adalah syura mereka dan itulah permulaan amal jama'ie mereka, namun perlu disedari, ummah inilah jemaah mereka yang sebenarnya, walau siapa yang berada di dalamnya.
Mereka lupa, jemaah itu tidak lebih daripada sekumpulan orang yang mengharap redha Allah. Allah itu matlamat mereka, ketetapan Allah itu undang-undang mereka. Dan jemaah yang wujud itu, bukan ekslusif seperti yang disangka-sangka. Ia bukanlah semata-mata sebuah persatuan rahsia yang siapa yang bisa menjadi ahlinya itu, mempunyai mustawar, tahapan iman tinggi memuncak. Dan selain daripada mereka adalah golongan-golongan bodoh dan slow. Bukan, bukan begitu.
Malah, silap jika mereka masih mencari-cari organisasi rahsia itu, menunggu masa diuji dan mengikat janji umpama Free-Mason dan persatuan mereka; ada ritual rahsia, ikatan ukhuwwah yang sulit dan perjanjian darah yang menyesatkan. Kerana jemaah ummah inilah jemaah mereka. Dengan akidah mereka disatukan, kepada Allah mereka berserah, dan kepada undang-undang Allah mereka mengikat.
Dalam jemaah umpama jemaah solat fardhu sehari-hari, setiap orang yang berada dalam solat itulah anggota jemaah. Setiap mereka yang menuruti perintah amir untuk berada dalam pergerakan solat yang berhubung dengan Allah secara terus itulah jemaah. Makanya, semua orang yang bertelingkuh dalam majlis-majlis kita, mengikut peraturan kita, beramal seperti kita, dan matlamatnya itu Allah, memperbaiki diri untukNya, dan merekrut para kader untuk bersama seperti kita itulah ahli jemaah kita. Jemaah kita. Islam.
Undang-undangnya jelas:
Taat kepada Allah, Taat kepada Rasul, Taat kepada Qiyadah.
Taat kepada perintah Allah, di atas bimbingan Ar-Rasul, di bawah pantauan Qiyadah.
Al-Quran, As-Sunnah, Harakah.
Setiap ahli dalam jemaah ini, umpama batu bata. Setiap satu darinya itulah yang membentuk kepaduan jemaah. Tiada batu bata, maka tiada lah jemaah. Setiap satu daripada batu bata itu, perlu memainkan peranan yang sama, untuk mendirikan amal jama'ei yang penuh barakah dengan bimbingan islam.
Di sini, kata-kata seperti; akh yang baik adalah seorang murobbi terbebankan. Seorang peserta jemaah ini, perlulah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa mengejar darjat 100% islam. Yang dalam dirinya tiada lain selain ingin berusaha 100% untuk menjadi 100% islam. Menjadi islami dari segala aspek hidup, hinggalah berdakwah dan mentarbiyyah, kerana kesemua peserta jemaah ini adalah pemimpin, setidak-tidaknya pemimpin dirinya dan keluarganya. Dan tanggungjawab seorang pemimpin yang paling asas adalah mentarbiyyah, agar segala amalan pimpinannya itu robbani, tidak lari dari tuntutan Allah.
Qiyadah dalam jemaah ini adalah imam yang wajib ditaati. Bukan kerana taasub, tapi agar solat dan ibadat ini tetap sah. Solat kita tetap untuk Allah. Seandainya sang imam terkentut, maka, bersiap siagalah ahli jemaah lain pula untuk menggantikan tempatnya, dengan peranan yang sama tanpa menjadikan mereka bertambah bongkak jiwa. Hanya kerana kita perlukan imam yang mengetuai pada setiap masa kita, agar jemaah ini terpandu tanpa khilaf.
Bukan untuk membina ketaksuban.
Akhi, ukhti,
Menjadi ahli jemaah dakwah ini, adalah dengan amal bukan dengan borang. Menjadi makmum dalam jemaah dakwah ini, bukan sekadar untuk membangga-bangga, tetapi menguji suatu ketaatan kepada Maha Pencipta.
Tegakkanlah tamadun islam dalam jiwamu, kemudian lihatlah kerajaan jiwa ini bangun seorang demi seorang... Ia akan menakluk dunia, bermula dengan jiwa kecilmu.
Betapa inginnya kami agar negeri ini mengetahui bahwa
mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri.
Kami berbangga ketika jiwa-jiwa kami gugur
sebagai penebus bagi kehormatan mereka,
jika memang tebusan itu yang diperlukan.
Atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan,
kemuliaan, dan terwujudnya cita-cita mereka
jika memang itu harga yang harus dibayar.
Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini
selain rasa cinta yang telah mengharu-biru hati kami,
menguasai perasaan kami,
memeras habis air mata kami, dan
mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mata kami.
Betapa berat rasa di hati kami menyaksikan bencana
yang mencabik-cabik negeri ini,
sementara kita hanya menyerah pada
kehinaan dan pasrah oleh keputusasaan.
Kami ingin agar negeri ini mengetahui bahwa
kami membawa misi yang bersih dan suci,
bersih dari kepentingan peribadi, bersih dari kepentingan dunia,
dan bersih dari hawa nafsu.
Kami tidak mengharapkan sesuatu pun dari manusia,
tidak mengharap harta benda atau imbalan lainnya,
tidak juga kemasyhuran, apalagi sekedar ucapan terima kasih.
Yang kami harap adalah
terbentuknya negeri yang lebih baik dan bermartabat
serta kebaikan dari Allah – Pencipta Alam semesta
PERJUANGAN KITA ADALAH PERJUANGAN AMAL, BUKAN KATA-KATA SEMATA-MATA
والله علم
والسلام عليكم
1 comment:
assalamu'alaykum.cerah dan jelas.ana pinjam artikel ini.jzk
Post a Comment