Monday, October 27, 2008

Masih mencari cinta??

بسم الله الرحمن الرحيم

Akhirnya, setelah berjaya bertungkus-lumus selama hampir seminggu ini, dapat juga ku menyiapkan revised reportku yang tiada due date pun sebenarnya. That's the problem when you did not set any deadlines, you tend to drag it on and on. Ini bermakna bermulalah secara rasminya episod 'study break' ku dan exam yang memang dah sangat dekat, depan batang hidung je...

Because of that, I think I have to stop writing for maybe 3 weeks perhaps to give 100% focus on my coming exams (hopefully InsyaAllah)... but I won't stop sharing definitely. Therefore this is my first episode of sharing some materials that I came across recently.

---------------------------------------------------------------------
Ramai yang ingin bercinta sebelum berkahwin. Bagi mereka, apabila bertemu seseorang yang dapat menyentuh hati dan perasaan seperti di dalam filem-filem telenovela Korea, atau filem-filem Hindustan barulah mereka akan bersedia mendirikan rumahtangga.

Selagi belum ada yang boleh mengusik hati dan perasaan, mereka akan menganggap semua itu bukanlah satu cinta sejati. Lalu mereka akan menjalani hidup mereka dengan berkhayal untuk menjumpai 'Mr Right' atau 'Ms Right' mereka.

Mereka akan berasa gembira dan ingin mendirikan rumahtangga apabila individu-individu ini tiba-tiba muncul dalam hidup. Itupun setelah mereka “betul-betul mengenali” individu ini, berselisih faham, bertekak dan berbaik semula, BARULAH mereka mendakwa diri mereka sedang dilamun cinta.


Apabila mendirikan rumahtangga, perasaan cinta itu dibawa bersama dengan harapan ia akan terus kekal begitu. Ramai yang terlupa atau tidak sedar bahawa tanggungjawab suami atau isteri adalah berbeza sekali dengan tanggungjawab sepasang kekasih, ia tidak terhad kepada menghantar dan menjemput dari tempat kerja sahaja. Ia lebih daripada itu.

Ada pula yang terlampau “bahagia” sehingga melupakan kedua orang tua. Ada juga yang berasa tertekan dengan kehadiran anak-anak yang dikurniakan oleh Allah.

Akhirnya alam perkahwinan mereka tidak menjadi seperti yang diinginkan, tidak seindah filem-filem telenovela Korea atau filem-filem cinta Hindustan kerana ia akan diselubungi dengan pelbagai masalah.

ALAM PERCINTAAN SEBELUM BERKAHWIN

Bercinta sebelum berkahwin adalah sebahagian daripada budaya Hedonisme yang mengajar manusia fahaman “kebahagiaan hanya dicapai apabila ada keseronokkan di hati”. Akibatnya kebahagian itu hanya seketika kerana keseronokkan yang dilakukan kadang-kala mendatangkan masalah sosial dan masalah peribadi yang lain. Sedangkan Islam mengajar sesuatu yang lebih baik.

Budaya ini telah lama menyerap ke dalam masyarakat Melayu semenjak Hikayat 1001 malam dibukukan. Seseorang yang sedang khayal dan seronok bercinta dengan pasangannya akan menganggap diri mereka sedang menikmati kebahagiaan. Lalu kerana rasa bahagia inilah mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Persoalannya adalah mudah, mampukah kebahagian tersebut kekal 10 atau 20 tahun akan datang? Boleh atau tidak mereka berasa bahagia apabila hadir di antara mereka anak-anak dengan pelbagai kerenah.



WANITA MENGADU TENTANG CINTA KEPADA UMAR

Pada zaman Umar Al-Khattab r.a. sebagai khalifah, ada seorang wanita yang datang mengadu dan mengaku kepada beliau r.a. bahawa dirinya tidak lagi mencintai suaminya. Dia lalu meminta nasihat daripada Umar r.a. apakah cara terbaik dalam mengatasi masalah ini. Katanya hidup yang tidak dihiasi dengan cinta amat membosankan.

Lalu Umar berkata “Jika ada di antara kamu, wahai perempuan, yang tidak cinta kepada seorang di antara kami para lelaki, tidak usahlah hal itu dikhabarkan kepadanya (suami itu). Kerana hanya sedikit rumahtangga yang dibina berdasarkan cinta. Kebanggaan hanyalah (rumahtangga) yang didirikan atas dasar hasab.”

Hasab di sini bermaksud kemulian budi, sifat dermawan, sopan santun, akhlak yang baik dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu disegani. Dalam erti kata moden, imej yang baik.

Kata-kata ini membawa maksud bahawa, amat jarang sekali sesuatu perkahwinan yang membanggakan dibina berdasarkan cinta. Perkahwinan yang menjadi kebanggaan biasanya dibina atas dasar hasab yang baik.

Ini adalah satu kata-kata emas yang jika direnung, ia membawa maksud yang amat mendalam. Sebenarnya terdapat pelbagai elemen lain yang dapat mempengaruhi kebahagiaan dan kebanggaan sesuatu rumahtangga selain cinta dan seks.

DISEBALIK PERKAHWINAN

Sepasang manusia yang diijab-kabulkan akan melalui pelbagai ujian daripada Allah swt. Masing-masing akan melihat kelemahan dan kelebihan diri yang lain. Justeru akan muncul pula perasaan benci, marah dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai manusia kita tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Keadaan akan menjadi buruk apabila kesilapan-kesilapan yang dilakukan menghakis sedikit demi sedikit perasaan cinta yang menjadi asas perkahwinan tersebut.

Dititik inilah biasanya muncul masalah “suami curang” atau “isteri curang”. Masing-masing cuba mencari cinta baru dari luar rumah. Perilaku-perilaku ini seterusnya akan mewujudkan situasi yang amat buruk apabila perasaan cinta itu didorongi pula oleh nafsu seks.



Apabila cinta itu terhakis, apa lagi yang tinggal dalam perkahwinan? Adakah ia mampu bertahan sehingga ke akhir hayat atau sebaliknya. Kita melihat banyak kes-kes penceraian di dada akhbar setiap hari. Kebanyakkannya berkahwin kerana cinta semasa mereka dan bukannya kerana menganggap bahawa perkahwinan adalah suruhan agama. Sebelum berkahwin, 'dialah segala-galanya dalam hidup'. Sesudah berkahwin, nak pegang-pegang tangan, bermesra-mesra seperti sebelum kahwin dahulu ke? Jauh panggang dari api.

APABILA CINTA TIDAK MENJADI ASAS

Berbeza keadaan dengan rumahtangga yang tidak dibina atas asas cinta. Percintaan hanya wujud selepas perkahwinan. Banyak rumahtangga yang berjaya dibina berpuluh-puluh tahun lamanya dan dapat bertahan sehingga dipisahkan oleh liang lahad. Semakin hari semakin mesra, semakin sayang, semakin bahagia.

Setiap hari kedua-dua pasangan sama-sama belajar mengenali satu sama lain. Berbeza dengan mereka yang mendirikan rumahtangga yang berasaskan cinta dan seks, mereka yang mendirikan rumahtangga atas sebab hasab akan menjumpai lebih banyak nikmat lain, mereka akan menjumpai kebahagian di dunia.

Atas dasar itulah kita sering lihat masalah penceraian adalah perkara biasa pada zaman sekarang. Padahal ia adalah sesuatu yang jarang didengari dalam masyarakat Melayu lama. Masyarakat Melayu lama berkahwin bukan kerana soal seks atau cinta, tetapi pernikahan mereka adalah berdasarkan hasab.

Siti Khadijah r.a. tidak pernah bercinta dengan Rasulullah s.a.w. . Beliau terpikat dengan Rasulullah s.a.w. disebabkan budi pekerti dan akhlak Rasulullah s.a.w. yang mulia. Perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w. kekal sehingga akhir hayat beliau. Faktor usia, harta dan keturunan bangsawan Rasulullah s.a.w. bukanlah faktor utama.

Terdapat beberapa riwayat hadith yang menceritakan bagaimana sayangnya Rasulullah s.a.w kepada Khadijah r.a. melebihi isteri-isterinya yang lain. Di antaranya :

Aisyah r.a. berkata, Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun dari isteri Nabi s.a.w seperti cemburuku kepada Khadijah karena Rasulullah banyak menyebutnya dan menyanjungnya dan setiap kali menyembelih korban Nabi s.a.w. akan menyisihkannya sebahagian untuk dikirimkan kepada perempuan-perempuan sahabat Khadijah. Kadang-kala aku berkata, “Seperti bumi ini tidak ada perempuan lain selain Khadijah” Nabi s.a.w bersabda, “Demikian banyak kelebihan Khadijah, dan darinya aku memperoleh anak. {Riwayat Bukhari}

Sejarah tidak melakarkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melalui zaman percintaan bersama dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berumahtanggga. Malah Muhammad Hussein Haekal menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bimbang akan kedudukkan kewangannya apabila dicadangkan oleh Nurfaisah untuk berkahwin dengan Khadijah r.a. {Sejarah Hidup Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera AntarNusa, Mac 2006, m/s 67}

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada apa-apa hubungan dengan Khadijah r.a. sebelum mereka berkahwin. Perkahwinan beliau s.a.w. dengan Khadijah r.a. merupakan satu perkahwinan yang terhormat dan berasaskan hasab.

Ini adalah selaras dengan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita agar memilih calon-calon pasangan hidup yang beragama dan bukannya berasaskan percintaan. 4 syarat biasa yang menjadi kriteria pemilihan calon adalah keturunan, harta, kecantikan dan agama. Namun, insyaAllah sebaik-baik calon adalah yang beragama. Hanya mereka yang menjiwai agama adalah mereka yang mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik. Namun ini tidak menjamin juga 100% kebahagiaan rumah tangga setelah berkahwin jika tidak cuba diwujudkan perasaan cinta, kasih sayang dan toleransi antara suami isteri selepas berkahwin.

Kesimpulan



Amat bijak sekali sekiranya kita mengambil keputusan untuk tidak menunggu lagi kemunculan “cinta sejati” Sebaliknya kita mula mencari mereka yang mempunyai agama yang baik, kahwinilah dan belajar mencintai mereka selepas berkahwin, kerana kebahagiannya telah pun dijamin oleh Rasulullah s.a.w., malah Allah telah menjanjikan rahmatNya.

والله علم
والسلام عليكم

9 comments:

syuk said...

pergi ke kedai membeli ceri
beli ceri dan ikan sekati
adakah tuan masih mencari?
atau ada pilihan di hati?

haaaaa beli bang beli ....

Imran Razali said...

Pergi ke kedai membeli ceri
Beli ceri dan ikan sekati
Buat apa susah mencari
Tak yakinkah kamu dengan janji Ilahi?

Rujuk Surah An Nur (24: 26)

syuk said...

ikan dibeli kurang segar
ibu di dapur mula mengeloh
katamu itu sangatlah benar
apakah sudah bertemu jodoh?
hihi


*delete je klu x ptt =p

Imran Razali said...

Ibu di dapur asyik mengeluh,
Ikan dibeli bukan ikan gelama,
Manakan mungkin sudah bertemu jodoh,
Kalau tidak kad jemputan sudah tentu diterima

:p

syuk said...

ungas berkicau menanti mentari
terbit mentari di tengah laman
besar sungguh cita di hati
menunggu diberi kad jemputan

Imran Razali said...

Unggas berkicau menanti mentari
Terbit mentari di tengah laman
Tunggu jelah hujung tahun ini,
Kalau tak pun hujung tahun depan

syuk said...

cuti sekolah pergi berkhemah
tengah jalan terbijak duri
jawapan saudara sungguh berhemah
maka saya mengundur diri

Ahau - Dee said...

Imran,

Seperkara yang menarik, sejak saya diperkenalkan kepada blog ini dan sejak saya mengikutinya, cerita yang dipaparkan sering bersangkutan dengan apa yang saya alami pada saat dan ketika itu.

Maka ia menjadikan satu pembacaan yang menarik apabila ianya berkaitan dengan apa yang saya alami.

Cuma saya dah tak pandai nak berpantun ... he he he. Btw ... nanti kita boleh bersembang bab ini masa sesi 'sharing tips' nanti : )

Imran Razali said...

Hehe

x sangka lak ek semua entri berkaitan tu.... what a coincidence..

hehe InsyaAllah boleh2 kita sambung thursday night nanti :D