Tuesday, July 21, 2009

Sobru 'ala Sobru

بسم الله الرحمن الرحيم



Muhasabah:
Apa yang kita cari dalam segala perbuatan kita dalam kehidupan seharian? Ganjaran, pujian, penghargaan dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya? Kepada siapakah pula segala harapan yang tinggi menggunung itu diletakkan? Kepada mad'u, rakan-rakan, murabbi, ibu bapa? Mari muhasabah semula segala amalan kita bagi memastikan ia benar-benar selari dengan tuntutan di dalam Al-Quran:


Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. [Al An'am,6:162]

Retrospek Diri:
Apabila anda menyampaikan sesuatu lalu anda dibalas dengan sebuah tamparan dan kejian yang menyakitkan, maka bersabarlah, usah cepat melenting dan terkejut. Jangan pula terus membenci dan meluah kata-kata kesat sama seperti mereka.

Kerana bukan redha mereka yang kita harapkan. Bukan jua tagih simpati mereka yang kita nanti-nantikan.

Sesungguhnya kita hanya menyampaikan sesuatu yang perlu disampaikan. Kita menyampaikan hanya kerana Allah jua. Maka, apa jua yang kita lakukan, hanya kepada Allah tempat kita berharap. Kepada Allah jua tempat kita bersimpuh.

Hanya pahala dan kebaikan dari Allah-lah tujuan sebenar kita.

Kita mencari redha Allah semata. Jauh sekali mengharap habuan manusia yang sedikit jika dibandingkan kurnia dan pahala dari sisi-Nya.

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun darimu atas da'wahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” [Surah Shaad, 38: 86]

Sesungguhnya kita hanya berusaha menyampaikan sesuatu yang realiti lagi hakikat. Bukan fantasi dan imaginasi yang diada-adakan. Kita hanya menyampaikan agama yang di dalamnya ditegakkan fakta-fakta ilmiyah dari kalamullah dan hadith-hadith Rasul-Nya, insyaAllah...


Biarkanlah mereka berfikir jika mereka mahu berfikir.

“Maka apakah mereka tidak memikirkan?” [Surah Yasin, 36: 62, 68]

“Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [Surah ar-Ra’d, 13: 4]


Maka, usahlah bersedih. Tidak perlu putus asa. Jika benar yang anda cari adalah redha dan pahala dari sisi Allah.

Kerana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman:




“... Padahal tidak ada seorang pun memberi suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan kelak nanti dia benar-benar mendapat kepuasan.” [Surah al-Lail, 92: 19-21]

Istiqomahlah di atas kebenaran di atas jalan-jalan ilmu dan fakta.

Sesungguhnya, untuk mereka yang melaksanakan kebaikan itu, dari sisi Allah jua pahalanya, dan tidak akan musnah atau terhenti dikeranakan kritikan dan makian manusia. Tetapi jangan menutup pintu kritikan kerana kita juga tidak sempurna. Rendah diri dan tawadhuk adalah kemestian seorang daie, dan bertegas pada hal-hal yang sepatutnya.



Kesimpulan yang penting adalah perlunya sikap sabar dan berhikmah serta keikhlasan dalam menangani gejala dan tindak-tanduk manusia. Timbanglah segala perbuatan dengan neraca al-Haq yang haqiqi, dan bukan neraca peribadi atau neraca keduniaan semata-mata. Proses tarbiyah dan pembelajaran tidak akan tamat hinggalah datangnya ketetapan yang pasti dariNya buat semua makhluk yang bernyawa. Ayuh teruskan derap langkah kita!

والله علم
والسلام عليكم

4 comments:

Anonymous said...

salam alaik..cmne ye nk amik extract from alquran.i mean the ayat.ambil kt mne ye? jazakallah khair..asif jiddan 'ala kulli hal

Imran Razali said...

Wa'alaikumsalam

Lau samahta masmuka ya akhil/ukhtil kareem?

http://quran.islamicnetwork.com/

Oh, la mutaassif, ma fi zhalika bi syai'. Waffaqonallahu jami'an :D

Anonymous said...

jazakallah khair akhil kareem..
may allah bless u

ummu said...

assalamualaikum

tazkirah yg bermanfaat