Friday, October 23, 2009

Ikhtilat oh ikhtilat 2

بسم الله الرحمن الرحيم

Untuk pemahaman yang lebih baik, sila baca siri satu di- Ikhtilat oh Ikhtilat. Asal hukum pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan (ikhtilat) adalah HARAM, maka ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali hukumnya bertukar menjadi harus dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Profesor Dr. Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya ‘al-mufassal fi al-ahkam al-mar ah’ yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan tersebut seperti di bawah:-

Pertama: Harus Kerana Terpaksa (Dhorurah)
Ikhtilat yang berlaku kerana terpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya: Berkata ahli mazhab Shafi'e: Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini keadaan-keadaan dhorurah, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia, maka harus ia menumpangkan wanita tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu hukum menumpangkannya adalah wajib tanpa khilaf. Antara contoh dhorurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.



Kedua: Harus Kerana Keperluan (Hajat).
Ulama berkata, hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.

1- Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak.
Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual beli, melakukan tawar menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab adab pergaulan.

2- Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman.
Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.

3-Ikhtilat kerana menjadi saksi.
Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.

4-Ikhtilat kerana amar makruf nahi mungkar.
Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya ‘al-Muhalla’ bahawa Umar al-Khattab (r.a.) telah melantik al Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.

5-Ikhtilat kerana melayan tetamu
Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syarei seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun ia terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadith Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah (s.a.w.) dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda (s.a.w.)

6-Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya.
Harus bagi wanita makan bersama tetamu dan suami tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syari’e. Imam Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah (s.a.w.) dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama sama baginda. Ini bererti bahawa orang Ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.

7-Ikhtilat dalam kenderaan awam.
Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu bapanya, membeli belah dan ke hospital, meskipun ia terpaksa menaiki kederaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ie.

8-Ikhtilat dalam kerja-kerja jihad.
Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya: Kami bersama Nabi (s.a.w.) merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.

9-Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat.
Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w.) keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.

10-Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan.
Tersebut dalam kitab Muwatta persoalan: Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan muhramnya? Berkata Malik: Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.


Pergaulan Yang Barakah

Walaupun pergaulan dibenarkan oleh syariat dalam suasana terpaksa dan keperluan, namun Islam telah meletakkan adab-adab dan disiplin dalam pergaulan lelaki dan wanita. Perkara-perkara inilah yang akan mengekang sikap-sikap serong dalam pergaulan antara wanita ajnabi dan lelaki. Kita perlu mengukur adakah pergaulan kita sekarang ini, sama ada di tempat kerja, dalam kenderaan awam, ketika membeli belah, bersiar-siar, berpolitik, amal-amal sosial, aktiviti-aktiviti luar dan lain-lain bertepatan dengan ajaran dan prinsip agama kita Islam. Sikap yang tidak mengikut lunas-lunas Islam lambat laun akan mengundang akan kecelakaan.

1-Ucapan yang makruf dan sopan.
Firman Allah: ......dan ucaplah kata-kata yang makruf. (4:5) Maksudnya, mereka ditegah sama sekali mengucapkan kata-kata yang janggal pada pandangan susila atau berbentuk sendaan dan sia-sia.

2-Menundukkan pandangan
Dalam surah an Nur menyuruh lelaki dan wanita menundukkan pandangan masing-masing khususnya dalam suasana takutkan fitnah. (24:30-31)

3-Mengelakkan daripada berhimpit dan bersesak-sesak
Imam Bukhari meriwayatkan daripada ummi Salamah bahawa Rasulullah (s.a.w.) setelah memberi salam beliau tidak terus bangun. Ini untuk memberi peluang kepada wanita keluar dahulu.- Ibnu Syiahab az-Zuhri.

4-Tidak berkhalwat (berdua-duaan)
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah (s.a.w.) bersabda: Janganlah sekali kali seseorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita kecuali jika ia muhramnya.

5-Menghindari tempat syubhat.
Sabda Rasulullah (s.a.w.): Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu….(Riwayat Bukhari)


Adab khas untuk wanita

6-Iltizam dengan pakaian Islam.
Firman Allah: Wahai nabi katakanlah kepada isteri dan anak-anak perempuan kamu supaya melabuhkan jilbab mereka. Dan firmannya lagi: Janganlah kamu bertabarruj (bersolek) sebagaimana kaum jahiliah bertabarruj. (33:33)

7-Serius dalam ucapan.
Tidak ‘mengada-ngada’ atau bermanja-manja dalam percakapan. Firman Allah : Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan, yang menyebabkan mereka yang berpenyakit hatinya terdetik untuk menggodamu. (33:32)

8-Menjaga pergerakan.
Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggan lenggok yang menggoda. Firman Allah: ...... Janganlah mereka menghentak kaki untuk menarik perhatian kepada perhiasan yang mereka sembunyikan. (24:31)


Pandangan Antara Gender

Pada dasarnya lelaki dan wanita adalah anggota masyarakat yang mempunyai hak sama untuk menjalani hidup dengan bebas dan merdeka dalam masyarakat Islam. Wanita mengikut padangan Islam memiliki hak sosial sama dengan lelaki tanpa diskirminasi satu jenis atas jenis yang lain. Islam tidaklah melihat pada diri lelaki muslim dengan pandangan yang melampau sehingga seolah-olah pemangsa yang harus dijauhi dan tidak dipercayai langsung oleh wanita. Dan tidak juga melihat pada diri wanita sebagai makhluk ganjil yang mana segala gerak-gerinya keji, membawa fitnah dan menganggu kesucian diri seorang lelaki. Namun semua ahli ilmu samada golongan syarak, undang-undang, pendidikan dan sosial bersetuju bahawa hubungan bebas tanpa batas antara gender akan memberi kesan negetif kepada pembangunan masyarakat dan menyebabkan keluhuran nilai yang dijunjung oleh sesebuah masyarakat seperti perkahwinan, kekeluargaan dan sebagainya menjadi porak peranda.

Konsep dasar ini akan memberi kesan langsung dalam kita memahami hukum Islam mengenai batas “pandangan” antara lelaki dan wanita asing (yang halal nikah) iaitu dari segi sejauh mana Islam mengizinkan lelaki memandang wanita atau sebaliknya wanita memandang lelaki?. Dualisme sistem berdasarkan gender Dalam masyarakat kita samada tradisi atau moden pemisahan total tidak berlaku dalam apa jua bidang atau sektor kehidupan. Sistem ko-operasi kehidupan dapat dilihat dengan jelas antara lelaki dan wanita berlaku dimana-mana sahaja seperti disekolah, diuniversiti, dipasar, dikilang, di pejabat kerajaan dan swasta, di stesen bas dan hatta di masjid. Dualisme sistem secara total berdasarkan gender jarang berlaku dalam sejarah Islam samada pada masa silam atau morden. Kita dapati ditempat-tempat tersebut lelaki menjadi bos dan wanita menjadi pembantu, lelaki menjual, wanita membeli dan begitu juga sebaliknya.. Dalam keadaan ini pandang memandang pasti akan berlaku.

Empat dasar utama mempengaruhi cara penentuan hukum dalam masalah ini:

Yang pertama: Al Quran
Nas al Quran yang menyuruh supaya “menundukkan pandangan” dalam surah an Nur(ayat 30-31). Maksud syarak daripada suruhan tersebut ialah untuk memelihara kesucian dan kemuliaan diri. Ayat tersebut memberi makna wajib. Yakni wajib merendahkan pandangan atau memalingkan wajah, tanpa menentukan perkara-perkara yang haram dipandang untuk memberi makna Itlak atau syuyuk. Iaitu pengharaman tertakluk kepada setiap yang membawa fitnah dan mencarikkan kesucian tidak secara syumul. Dalam Sahih Bukhari:( berkata Said bi Abi al Hasan kepada al Hasan; sesungguhnya wanita ajam(bukan arab) mendedahkan dada dan kepala mereka, maka jagalah pandangan kamu).

Yang Kedua: Hadith
Di antara hadith Nabi s.a.w yang diberkaitan dengan persoalan ini ialah hadith yang dikeluarkan oleh at Turmuzi yang antara lain menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w kepada Ali: “Wahai Ali elakkan pandangan kedua, kalau ia harus bagi kamu pada kali pertama, dia tidak lagi harus bagi kamu untuk kali kedua“. Dan hadith Baihaqi daripada Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w: Ditulis keatas anak Adam bahagian dia daripada zina yang tidak mungkin dielakkan, mata zinanya pandangan, telinga zinanya mendengar, lidah zinanya kata-kata, zinanya tangan adalah sentuhan, zinanya kaki dengan melangkah, zinanya hati dengan keinginan dan angan-angan dan yang membenarkan atau mendustakan zina itu sendiri adalah kemaluan (Riwayat Bukhari,Muslim,Abu Daud dan lain lain). Hadith-hadith ini menunjukkan kewajiban menjaga pandangan daripada melihat perkara yang boleh membawa fitnah. Ini mengheret kita kepada persoalan berkaitan aurat wanita kerana yang jelas haram itu ialah melihat bahagian anggota yang haram iaitu aurat. Ini berlainan jika pandangan itu jatuh pada bahagian yang bukan aurat.

Yang ketiga: Batasan Aurat
Aurat wanita: Jumhur ulama’ mengatakan seluruh tubuh wanita adalah aurat yang perlu ditutup kecuali perhiasan yang zahir seperti yang disebut dalam surah an Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan jangan mereka nampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya”. Ulama’ berselisih dalam mentafsir skop pengecualian tersebut. Pendapat yang kuat yang diwakili oleh jumhor ulama’ mengatakan ia adalah muka, tangan dan pakaian. Ini bermakna muka, tangan dan pakaian merupakan bahagian yang pada adatnya kelihatan dan tidak tertakluk kepada arahan supaya disembunyikan.

Yang keempat: Kaedah Saddu az Zarie’ ah
Saddu az Zarie’ ah iaitu tujuan menutup pintu fitnah. Saddu az zarie’ah adalah satu qaedah yang dirujuk oleh ulama’ dalam penentuan hukum terutama dalam kes-kes yang berkaitan dengan maruah dan harga diri. Pandangan merupakan pintu kepada hati. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadith Ali diatas, kalau seseorang dimaafkan pada pandangan pertama, pandangan kedua tidak lagi dibenarkan kerana ia digerakkan oleh syahwat dan boleh menjejaskan kesejahteraan hati. Kebimbangan ini ditakuti berlaku kepada Ali seorang sahabat nabi, ia lagi-lagi boleh berlaku dizaman ini dimana manusia mengalami bebagai jenis penyakit jiwa atau kelemahan hati.

Kesimpulan.

A.Pandangan lelaki kepada wanita asing (yang halal nikah).

Daripada pandangan umum Islam terhadap hubungan lelaki dan wanita dan kaedah-kaedah asas yang mendasari cara pengeluaran hukum dalam masalah “pandangan” lelaki dan wanita “ajnabi” kita dapat membuat kesimpulan seperti berikut:

  • Tidak harus melihat atau memandang bahagian aurat wanita (selain dari muka, tangan dan kaki disisi kebanyakan ulama’) samada dengan syahwat atau tidak.
  • Bagi bahagian yang bukan aurat seperti melihat wajah dan tangan wanita ajnabi (yang halal nikah) hukumnya harus jika tidak dengan syahwat dan menimbulkan fitnah. Walaupun yang lebih afdhal ialah menyerongkan pandangan.
  • Jika pandangan melibatkan bahagian aurat hukumnya harus jika kerana hajat atau dhorurah.

Keadaan-keadaan yang dikecualikan kerana keperluan atau dhorurah:

  • Pandangan saksi untuk mengenalpasti orang yang didakwa
  • Pandangan kerana keperluan muamalat seperti jual beli dan sebagainya
  • Pandangan kerana merawat penyakit
  • Pandangan kerana tujuan mahu mengahwininya
  • Pandangan kepada wanita tua dan kanak-kanak

B.Pandangan wanita kepada lelaki ajnabi(halal nikah)

Pandangan wanita kepada lelaki ajnabi sama dengan pandangan lelaki kepada lelaki. Yakni harus bagi wanita melihat bahagian yang bukan auratnya iaitu barang antara pusat dan lutut dengan syarat tidak dibimbangi fitnah. Jika dibimbangi fitnah maka hukumnya haram.

Peringatan penting.

Ruang kelonggaran yang dinyatakan diatas hanya sesuai dilaksanakan dalam masyarakat yang iltizam dengan hukum Islam. Dalam situasi hari ini kebanyakan wanita tidak menutup aurat atau berpakaian yang mendedahkan samada dipejabat atau ditempat awam, dan lelaki yang tidak berakhlak maka sayugia bagi lelaki dan wanita Islam menjaga pandangannya dan mengambil kewaspadaan yang sewajarnya supaya ia tidak terjatuh kedalam perkara yang ditegah oleh syarak.


p/s- Soal rumah terbuka raya yang banyak diajukan kepada saya, kita cuba bersangka baik dengan pihak penganjur dengan harapan penganjur akan mencuba sedaya upaya menjaga batas-batas pergaulan kerana dalam konteks memenuhi jemputan, ikhtilat diharuskan tetapi dengan batas syara' yang telahpun dihuraikan. Bukankah kebanyakan prasangka itu dosa (49:12), maka kita jauhi prasangka terhadap penganjur. Kita jaga pergaulan dengan baik. Soal share saham dosa etc jika berlaku ikhtilat yang melanggar batas syara'- itu urusan Allah. Yang penting kita tunaikan hak kita dan penganjur perlu tunaikan haknya juga. Allah Maha Adil dan tidak menzalimi hamba-hambaNya.

والله علم
والسلام عليكم

1 comment:

Anonymous said...

Jzkk again for the reminder :)