Sunday, October 11, 2009

Puas hati?

بسم الله الرحمن الرحيم

“ Cukup-cukuplah amal aku ni. Banyak dah rasanya. Buat apa nak semangat-semangat sangat”

Itu adalah antara kalam yang kelihatan macam ‘tawadhu merendahkan diri’, yang sering melintas di dalam hati kita apabila hendak melakukan kebaikan.

Benarkah kita perlu merasa cukup dengan amal kita? Adakah kita patut merasa cukup dengan kebaikan yang telah kita lakukan? Adakah itu satu sikap yang benar?

Saya tidak pernah terfikir akan perkara ini, kecuali apabila seorang manusia telah berkongsi kepada saya tentang perkara ini.


Puas hati dengan amal&pencapaian kita?

“ Kita ini, tidak boleh rasa cukup dengan amal yang kita telah buat sahaja. Kita mesti pertingkatkan lagi taraf kita di sisi ALLAH SWT. Janganlah berpuas hati sekadar ini sahaja”


Kita sebagai hamba, memang tidak sepatutnya bersifat cukuplah dengan apa yang ada terhadap amal kita. Kita memang digalakkan merasa cukup dengan apa yang ada terhadap harta kita, tetapi bila masuk ke bab amal kebaikan, kita tidak sepatutnya demikian.

Adakah kita berpuas hati hanya dengan melaksanakan solat lima waktu sehari semalam sepanjang hayat kita, tanpa penambahan solat sunat rawatib, atau cuba mendapatkan khusyu’ dan sebagainya? Adakah, kita berpuas hati dengan membaca Al-Quran sehari sehelai, sepanjang kehidupan kita? Adakah kita berpuas hati dengan berpuasa di bulan ramadhan semata-mata? Adakah kita berpuas hati, kita sahaja yang mengamalkan ISLAM tanpa kita ajak orang lain mengikuti kita?

Saya sebenarnya, agak pelik dengan orang yang merasakan dia sudah cukup dengan amalnya. Sebab, amal kita yang sedikit sebenarnya langsung tidak setanding dengan kasih sayang dan rahmat ALLAH SWT. Sebab itu, kita ini tidak dimasukkan ke dalam syurga kerana amal kita. Kta ini dimasukkan syurga disebabkan rahmat ALLAH SWT kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda,

“Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam surga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah.” (Riwayat Muslim; kitab Shahih Muslim, Juz II, halaman 528)

Maka, kita beramal adalah untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang ALLAH itu.

Apakah kita fikir, ALLAH hendak memberikan kita sesuatu yang besar tanpa kita berusaha keras? Kita merasa cukup dengan apa amal yang kita ada, tanpa ada usaha hendak mempertingkatkannya, kemudian kita hendak bersenang-senang di dalam syurga yang penuh kenikmatan?

Jika kita hendak mendapat perhatian bos kita di pejabat, atau guru kita di sekolah, kita boleh melakukan sesuatu yang luar biasa, kenapa tidak untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang ALLAH?

Tambahan, kita jangan lupa bahawa kita ini mempunyai seteru yang telah bersumpah untuk menjatuhkan kita dan mengheret kita bersamanya ke Neraka. Itulah dia syaitan yang telah diberikan lesen oleh ALLAH SWT untuk menyesatkan kita yang alpa. Jika kita sekadar merasa cukup dengan amal yang kita ada, pastinya tidak lama kemudian, syaitan akan berjaya menumbangkan kita.

Syaitan yang telah berjaya menyesatkan jutaan manusia dan menyelewengkan jutaan orang yang kuat ibadah, apalah susahnya dia hendak menumpaskan manusia yang langsung tidak pernah terfikir hendak meningkatkan amalnya?

Amal kebaikan, secara tidak langsung sebenarnya mengecas keimanan kita. Iman yang hidup adalah iman yang disertai amal, bukan bermain di teori pemikiran semata. Justeru, iman akan dapat kita perkuatkan, perkasakan dengan amal. Tanpa amal, iman akan menjadi kering, lalu mandul dan senang dipatahkan.

Tidak mempertingkatkan amal kita, samalah seperti tidak mempertingkatkan pertahanan kota. Kota yang saban waktu diasak musuh, andai mereka tidak berusaha mempertingkatkan kualiti kubu mereka, maka pastinya kubu mereka akan berjaya ditumbangkan. Kita, saban waktu juga diasak dengan serangan syaitan yang bertali arus. Andai kita tidak mempertingkatkan amal kita, pastinya diri kita akan roboh.

Nah, siapa yang masih lagi merasa cukup dengan amal yang mereka ada?

Tidakkah anda merasakan keperluan untuk mempertingkatkannya? Rugilah mereka yang merasakan diri mereka itu sudah cukup bagus, dan lebih teruk lagi disebabkan itu mereka selalu mengkritik orang lain tanpa menyedari kekurangan diri sendiri. Alangkah malangnya juga bagi mereka yang sibuk dengan perkara 'trivial' yang tak perlu pun kita 'kumpul' seolah-olah benda tu nak dibawa sampai ke mati. Duit? Harta? Perkara keduniaan yang berlebihan? Tepuk dada tanyalah iman.

والله علم
والسلام عليكم

No comments: