Wednesday, October 14, 2009

Mutiara Murabbi

بسم الله الرحمن الرحيم

Hidup manusia mana yang tidak berkaitan langsung dengan tanggungjawab?

Saya tidak nampak, manusia yang hidup tanpa tanggungjawab, melainkan manusia yang telah ditarik kewarasan akalnya untuk berfikir. Hal ini kerana, andai seorang manusia itu tidak memegang apa-apa jawatan pun, dia tetap mempunyai tanggungjawab sebagai hamba ALLAH.

Jawatan, bila saya sebut perkataan ini, baru saya perasan yang manusia sentiasa mengaitkan tanggungjawab dengan jawatan. Bila dia tiada jawatan, maka dia merasakan bahawa dia tiada tanggungjawab, dan terlepas dari segala persoalan.

Benarkah?

Kalau saya, saya akan menyatakan itu adalah satu fahaman yang silap.


“ Kita semua kena 'jadi' ketua”

Itu adalah satu kata-kata pendek, yang dilafazkan oleh seorang murabbi yang melawat bumi Kiwi ini selama hampir sebulan.

Kata-kata ini dilafazkan apabila kami bersembang perihal tanggungjawab menjaga dakwah Islamiyah.



Maksud kata-katanya adalah, walaupun kami bukan ketua, tetapi kita perlu ada rasa tanggungjawab seperti seorang ketua dalam menjaga urusan dakwah. Bukannya hendak mengambil alih tugas ketua, tetapi, sensitiviti dan kepekaan, kasih sayang, ambil berat kita, semuanya sama sebagaimana rasminya seorang ketua yang bertanggungjawab terhadap organisasinya.

Saya nampak, konsep rasa bertanggungjawab ini, amat penting.

Bukanlah jawatan kita yang menentukan tanggungjawab. Hakikatnya, semua kita berkongsi tanggungjawab yang sama. Cuma, diwujudkan jawatan adalah untuk pembahagian tugas. Namun, syu’ur kita tetap sama.

Rasulullah SAW bersabda,

“ Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin itu akan dipersoalkan atas apa yang dipimpin” Al-hadith.

Pelajar sekolah, perlu mencintai sekolah, menjaga sekolahnya sebagaimana pengetua mencintai dan menjaga sesebuah sekolah. Kita perlu rasa sensitif dengan kebersihan, perilaku pelajar, dan suasana persekolahan. Bukan untuk mengambil alih tugas, tetapi untuk melakukan apa yang boleh kita lakukan. Contoh paling mudah, menjaga diri sendiri dari membuang sampah, beradab kurang ajar, dan melatih diri untuk berdisiplin. Sebab kita sensitif, peka dengan tanggungjawab menjaga sekolah ini.

Analogi yang mudah: Walaupun ada tukang sapu di sekolah, tetapi tanggungjawab menjaga kebersihan masih tetap tanggungjawab semua warga sekolah. Samalah juga dengan tanggungjawab kita terhadap Allah dan Islam.

Begitulah juga dengan negara. Walaupun kita mungkin hanya seorang rakyat yang tidak dikenali, tetapi kita perlu mempunyai rasa bertanggungjawab atas watan kita, seakan-akan kitalah seorang perdana menteri. Kita patut peka dan sensitif dengan keadaan negara dan rakyatnya, serta perjalanannya. Kita tidak akan membiarkan satu pun anasir buruk, menguasai negara dan rakyat. Bukanlah kita mengambil tugas perdana menteri, tetapi kita menggunakan sensitiviti dan kepekaan ini kepada diri kita dengan menjadikan diri kita seorang rakyat yang kritis, proaktif, dan sentiasa membantu untuk membangunkan sebuah negara yang baik dan diredhai ALLAH.

Lebih lah lagi, sebagai seorang Mu’min. Kita perlu rasa bertanggungjawab terhadap ISLAM, perjalanannya, dan perkembangannya. Perlu ada rasa untuk menyampaikannya dan bergerak menyebarkannya. Tidak dengan kata-kata, dengan tulisan. Tidak dengan tulisan, dengan akhlak. Kita mesti merasakan bahawa, kita lah ketua kepada ISLAM ini, dan suka agar semua orang merasai keindahannya, dan rasa duka dengan sebarang usaha untuk merosakkannya. Walaupun mungkin kita bukan ulama’, mahupun bukan pelajar agama, tetapi rasa tanggungjawab ini perlu kita bangunkan dalam jiwa. Bukan untuk menghukum orang lain, tetapi untuk bermula dari diri kita.

Rasulullah SAW bersabda,

“ Sesungguhnya setiap kamu adalah penjuru dari penjuru-penjuru ISLAM, musuh akan menyerang dari penjuru kamu, maka pertahankanlah penjuru kamu itu” –Al Hadith.

Buah dari kata-kata murabbi ini jugalah yang membuatkan saya rasa lebih bertanggungjawab terhadap ISLAM yang ALLAH anugerahkan kepada saya.

Perlu rasa diri kita adalah yang dipertanggungjawabkan. Bukan untuk meletakkan tekanan atas pihak lain, tetapi untuk bermula dari diri kita.

Seorang pelajar, tetap tidak akan mampu menjadi ketua semasa dia menjadi pelajar. Jadi, dia perlu menjaga sekolah dengan segala kemampuannya sebagai seorang pelajar, bersama rasa tanggungjawab seperti seorang ketua.

Seorang rakyat biasa, tetap tidak akan mampu menjadi perdana menteri semasa dia menjadi rakyat biasa. Jadi, dia perlu menjaga negara, dengan segala kemampuannya sebagai seorang rakyat biasa, bersama rasa tanggungjawab seperti seorang perdana menteri.

Lebih lah lagi untuk ISLAM. Mustahil untuk kita menjadi Rasul, tetapi, kita mestilah mencintai, rasa hendak menyebarkan deen ini, mempertahankannya, sebagaimana Rasulullah SAW telah tunjukkan kepada kita dalam kehidupan baginda.

Bangkitkanlah, hidupkanlah rasa tanggungjawab dalam jiwa kita.

Setiap masa, setiap tempat, tidak kira, siapa kita, dan apa jawatan yang kita pegang.

Kerana kita semua adalah pemimpin sebenarnya.

ALLAH SWT berfirman, “ Dan ingatlah ketika RABB kamu berkata kepada para malaikat, sesungguhnya AKU ingin menjadikan di atas muka bumi ini khalifah…” [ Al-Baqarah 2: 30]

Siapakah yang tercipta selepas itu?

Bukankah makhluk bernama Adam, yang diciptakan dari tanah? Bapa pertama kepada kita?

Ujar sang murabbi lagi: Ciri-ciri pemuda Islam yang digariskan Imam Hassan Al Banna ada 4:
  1. Mufakkir (berfikir)
  2. 'Amil (Bekerja)
  3. Jariy (berani)
  4. Muntij (produktif)
Sejauh mana penerapan keempat-empat ciri ini dalam diri kita semua? Ayuh marilah menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Saya sudahi tulisan kali ini dengan sebuah puisi dengan harapan dapat menyedarkan kita semua dalam menjalankan tanggungjawab membangunkan semula bangsa kita.

Tidak berniat menghina atau mengata, cuma sekadar menyatakan kebenaran demi mencetuskan bibit kesedaran dan rasa tanggungjawab.



Dimana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenova dari Korea dan Peru
Sambil makan junk food, kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak Melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan kayu

Boleh tak jumpa mereka dikedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa, ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu dulu
Ayat lazim dimulut adalah malas selalu
Nak harap Kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis habis gaduh nak jatuhkan sapa dulu
Dengki mendengki, dendam mendendam sesama Melayu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu

Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata Nabi ikutlah Al Quran dan Sunnahku
Al Quran yang diturunkan 1400 tahun lalu
Tapi apakah yang kita tahu, cuma baca nak halau hantu.

والله علم
والسلام عليكم

No comments: