Tuesday, April 7, 2009

Tegakkanlah daulah Islam dalam diri

بسم الله الرحمن الرحيم

Ingin saya kongsi pesanan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah sebagai renungan buat diri saya sendiri terutamanya dan buat semua sahabat-sahabatku juga..

Kata-kata Imam Hasan Al-Hudaiby masih terpahat kukuh disanubari ramai Duat hari ini–“Tegakkan Daulah Islam Dalam Diri Kamu, Nescaya Ia Akan Tegak Di Atas Bumi Kamu”.
Jika dilihat ungkapan dari kacamata atau melalui jalan politik semata-mata, mereka yang tidak sabar ingin mengkecapi kemenangan dalam Pilihanraya semasa masih ada usia, sudah tentu akan mencemuh dengan menuduh jalan ini lambat dan terlalu ketat keaslian dan syarat-syaratnya. Golongan ini bukan sahaja gopoh dalam membuat kesimpulan tapi juga tidak ada kemampuan dalam memahami Sunnah Allah swt dalam perjuangan umat yang panjang dan silih berganti ketamadunan. Hakikatnya Allah swt telah menetapkan bahawa asas perubahan dalam masyarakat adalah hasil dari perubahan dalam diri individu dalam umat itu sendiri. ‘Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada dalam satu kaum, sehingga mereka merubah merubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri.

Oleh sebab itu asas Dakwah kita ialah merubah diri ahli, kemudian merubah keperibadian masyarakat disekeliling kita. Dengan kata lain, ISMA tidak akan mampu membawa perubahan dalam masyarakat dan umat sehinggalah ahli-ahlinya mampu membuat perubahan ketara di dalam diri dan keluarganya sendiri. Dengan kata lain juga, sekiranya ahli-ahli ISMA dapat dan mampu membaiki dan meningkatkan ketaqwaan dan akhlak diri dan keluarganya, maka dia akan lebih mampu dan berjaya membawa perubahan yang diimpi dan dicita-citakan terhadap masyarakat dan umatnya.

Lihat sahaja di dalam cara Islam merubah masyarakat zaman Nabi saw yang kesannya masih terasa hingga ke hari ini walau telah berlalu 1400 tahun lamanya. Allah swt mengutuskan Nabi saw yang memiliki ketaqwaan dan keperibadian yang tertinggi. “Demi Allah, aku adalah orang yang paling taqwa dikalangan kamu akan tetapi aku bersolat dan menggauli isteri, berpuasa dan berbuka …(hadis teguran Nabi saw terhadap beberapa Sahabat ra yang mehu mencapai taqwa dengan cara berpuasa dengan tidak berbuka, beribadat solat sepenuhnya malam tanpa menggauli isteri dan sebagainya). Firman Allah swt, “Telah ada bagi kamu pada diri Rasulullah contoh tauladan yang baik”. Kata Aisyah r.a, “Akhlak Rasulullah saw adalah Al-Quran”. Firman Allah swt, “Sesungguhnya kamu (ya Muhammad) mempunyai akhlak yang hebat” (Al-Quran). Ketaqwaan dan keperibadian/akhlak sebeginilah yang mampu membawa perubahan di dalam masyarakat Arab Melah dan Madinah seterusnya di Semenanjung Arab. Dari Baginda saw dibentuk para Sahabat ra, umat yang terbaik yang dikeluarkan oleh Allah swt di muka bumi. “Kamulah umat yang terbaik dikeluarkan untuk manusia” (Al-Quran). Dari mereka pula dibentuk umat manusia di Negara-negara berdekatan di zaman Islam membuka tanah-tanah baru di Mesir, Parsi, Syam dan lain-lain.

Tanpa keperibadian yang tinggi, tidak mungkin tercapai cita-cita penegakkan Islam yang luas dan keperibadian umat pemimpin dan pembimbing dunia yang kita cita-citakan. Tanpa pendidikan dan peningkatan diri, jangankan menegakkan Negara Islam tidak kesampaian, malahan membentuk organisasi dan jemaah yang akan berjuang menjayakan projek membina Negara pun akan kecundang atau menemui berbagai jalan buntu. Contoh-contoh ketara adalah seperti akhlak ahli yang bermasalah, lemahnya kefahaman terhadap perjuangan bahkan terhadap Islam itu sendiri. Tidak pelik jika ada yang ke tahap menyombong diri dihadapan sahabatnya yang lain kerana pangkat, kelulusan, profession, harta, kereta dan sebagainya dari ciri-ciri dunia yang fana ini. Terdapat pendokong Islam yang tidak dapat menghayati atau mempraktikkan disiplin dan kesungguhan dalam bekerja, hanya berpada berteori dan mengarah tanpa bekerja keras sedang dia mengutip hasil titik peluh sahabatnya yang ikhlas dan bersungguh dalam amal dakwah . Tidak kurang mereka yang merangka plan dan tindakan siang dan malam untuk orang lain sedang anak-anak sendiri, samada sebahagian atau semua mereka, jauh dari program-program Islam yang terancang, hanyut di dalam arus perdana yang tidak haraki.

Lemah didikan terhadap diri ahli dalam organisasi atau keperibadian diri dalam masyarakat juga akan mengakibatkan kegoyahan dalam struktur organisasi dan mesyarakat tersebut. Tanda pertama kepada penyakit ini ialah lemah dan goyahnya ikatan hati dan ruh yang membawa kepada longgarnya perasaan yang penghayatan Ukhuwwah (Kasih Sayang) Islamiyah secara amali di dalam barisan. Sebahagian tanda-tanda penyakit yang merbahaya ini ialah perasaan hasad, iri hati, bermuka-muka, tidak telus, berpolitik bukan pada tempatnya, menjatuhkan orang lain, tidak berani berterus terang, memfitnah, mengumpat, mengata, gila kuasa dan sebagainya. Sudah tentu jemaah atau organisasi seumpama ini tidak ubah seperti sebuah kelab biasa dan jauh dari ciri sebuah jemaah Islam menyeluruh yang bekerja mencapai cita-cita Islam yang jauh dan murni. Iman dan Ukhuwwah ibarat antibodi dalam badan yang mencegah jangkitan penyakit-penyakit yang datang menyerang. Apabila lemahnya ikatan dan perasaan Ukhuwwah, maka datang pula penyakit-penyakit kronik yang lain seperti saling menjatuhkan pihak lain, campurtangan dalam pentadbiran dan tugas Dakwah pihak lain sedang tugas yang dipertanggungjawab ke atas bahu sendiri terabai, dan sebagainya. Kita melihat ini banyak berlaku di dalam badan-badan Dakwah Islam khususnya badan yang lemah dalam bidang mendidik ahli. Apabila ini berlaku, dakwah tidak dapat maju ke hadapan dan cita-cita menegakkan Islam di dalam keluarga, masyarakat dan Negara, apatah lagi dunia hanya tinggal cita-cita dan tidak lebih dari itu.

Oleh itu amat tepatlah kata-kata Imam Hasan Al-Hudaiby, “Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di atas bumi kamu”.

Kita menyeru kepada sekelian umat yang bercita-cita tinggi kea rah memperjuangkan Agama yang suci ini, khususnya pendokong-pendokong gerakan Islam dan ahli-ahli ISMA sendiri supaya memberi penekanan yang kuat terhadap tarbiyah atau pendidikan diri insan, lelaki dan wanita. Dari pengamatan terhadap nas-nas Al-Quran, Hadis dan pengalaman-pengalaman gerakan Islam dulu dan kini meyakinkan kita bahawa hanya Jalan Tarbiyah, mendidik diri dan masyarakat, adalah sebaik-baik jalan yang menuju ke matlamat yang diimpikan. Itulah jalan yang ditunjukkan kepada kita oleh Rasulullah saw.

Kita berdoa kepada Allah agar kita dipilihNya menjadi pendokong dan pejuang agamaNya. “Dan tidak diketahui tentera (penolong) Tuhan melainkan Dia” (Al-Quran). “Jika kamu berpaling, Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain selain kamu. Kemudian, mereka tidak seperti kamu” (Al-Quran).

Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
Naib Presiden ISMA.

Secebis peringatan dalam adab amal jamaie...


Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An Nisa' 4:59)


Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu). (An Nisa' 4:83)

Jamaah itu bermaksud anda bersama dengan kebenaran walaupun anda berseorangan. Tidak perlu kita memaksa sesiapa untuk bersama dengan persatuan atau gerakan kita. Kalaulah persatuan/gerakan itu mendakwa dia adalah Jamaah yang wajib untuk diberi wala’ dan sesiapa yang keluar daripadanya diisytihar “bughah”, maka sila nyatakan sekarang nama persatuan/gerakan tersebut. Jika tiada, masing-masing usah menganggap persatuan/gerakannya adalah “Jamaah” dengan erti katanya yang khusus.

Artikel sebelum ini (Biarlah Amal yang berbicara) dipetik daripada kitab “Bahtera Penyelamat”, ditujukan untuk semua termasuk diri penulis blog supaya kita sentiasa beringat dan tidak menghabiskan masa dengan pertikaman lidah yang tidak membawa kepada amal.

Sekarang, masing-masing beramal dengan cara dan pendekatan yang difahami selagi mana tidak bertentangan dengan Al-quran dan Sunnah. Bekerjasama tidak semestinya berada di dalam persatuan/gerakan yang satu. Tapi itu juga tidak bermakna tiada ruang untuk sebarang kerjasama, melainkan salah satu pihak menutup semua ruang perbincangan. Carilah penjelasan dari pelbagai pihak dan bukan satu sahaja, dan berlapang dadalah kerana itulah serendah-rendah ukhuwwah. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Tiada siapa yang salah di sini. Allahu Musta’an

Kepada semua,

Boleh rujuk buku karangan Al-Marhum Said Hawa bertajuk “Kaifa La Namdhi ba’idan ‘an ihtiajil asir” terbitan Darus Salam. Juga buku “Toriq ila Jamaatil Muslimin” karangan Hussein Muhsin Jabir. Kedua-dua buku ada menjelaskan dengan baik segala persoalan tentang jamaah. Selamat membaca.

p/s: Credits to Ustaz Shuhaib Arrumy as well for the enlightenment. Peace everyone.



والله علم
والسلام عليكم

No comments: